Pesawat ke Kota Bharu patah balik KLIA 30 minit selepas berlepas

8 hours ago 2

PETALING JAYA – Seorang penumpang berkongsikan detik cemas apabila pesawat dinaiki terpaksa berpatah balik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, semalam.

Nurul Hafiza, 32, berkata, kejadian berlaku kira-kira 30 minit selepas pesawat berlepas pada pukul 7 petang ketika dia ingin pulang ke kampung halaman.

Ketika berlepas, Nurul Hafiza yang duduk di bahagian penumpang di sayap sebelah kiri terdengar bunyi pelik dan terasa gegaran dari bahagian enjin.

“Lepas berlepas, dalam beberapa minit selepas itu saya dengar bunyi pelik dari arah enjin dan merasakan gegaran. Saya mula menggelabah dan rasa takut.

“Tambah pula sebelum saya naik, saya tengah baca berita tentang pesawat Indian Air yang terhempas. Jadi macam-macam perasaan saya ketika itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Nurul Hafiza berkata, gegaran itu turut dirasai oleh penumpang lain sekali gus menimbulkan rasa panik dalam kalangan mereka.

Namun, katanya, disebabkan pesawat dalam keadaan stabil dan juruterbang memaklumkan situasi terkawal, suasana panik itu mula bertukar menjadi tenang.

“Sebelum tu semua orang tenang je dan ada yang terlelap. Lepas bergegar semua panik tapi diam sahaja walau dalam kepala dah tentu arah.

“Tidak lama lepas tu, juruterbang maklumkan ada masalah pada enjin tapi pesawat dalam keadaan stabil dan minta kami bertenang. Kemudian penumpang dimaklumkan penerbangan kena berpatah balik ke KLIA semula,” ujarnya.

Difahamkan, masalah enjin pesawat tersebut berpunca daripada serangan burung sehingga terpaksa berpatah balik ke KLIA bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

Setakat ini video yang dimuat naik Nurul Hafiza di akaun TikToknya tular sehingga mendapat 255,200 tontonan dan 1,141 perkongsian.

Sementara itu, dia berkata, setibanya di KLIA, terdapat banyak trak pasukan penyelamat lapangan terbang telah bersedia untuk menyambut menumpang.

“Kemudian kami dapat bertukar penerbangan lain untuk ke Kota Bharu. Alhamdulillah 30 minit yang mendebarkan. Sujud syukur, Tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu. Bukan ‘masanya’ lagi,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

@maksyuuu Alhamdulilah selamat berpatah balik ke KLIA. Terima kasih pilot AA Ak6438 kerana buat kami semua bertenang. Walaupun tiba2 sampai penuh bomba standby.. #airasia #fy #fypage ♬ original sound – Maksyuuu
Read Entire Article
Pertanian | | | |