Latihan jangka pendek diarus perdanakan lahirkan pekerja berkualiti

7 hours ago 4

KLANG – Kerajaan berhasrat untuk mengarusperdanakan latihan kemahiran jangka pendek bagi memastikan tenaga kerja sentiasa relevan dalam revolusi industri 4.0.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, kajian menunjukkan kira-kira 35 peratus majikan di negara ini mengiktiraf kursus jangka pendek dalam menilai potensi pekerja mereka.

Katanya, peratusan ini adalah lebih dua kali ganda berbanding purata global iaitu 14 peratus.

“Kita mahu gunakan platform seperti Minggu Latihan Kebangsaan (NTW)
untuk membiasakan rakyat negara ini dengan latihan kemahiran.

“Ambillah satu kursus daripada sebarang kursus ditawarkan. latihan jangka pendek tidak harus dipandang ringan. Ia perlu menjadi budaya seterusnya mengarusperdanakan latihan kemahiran agar para pekerja dapat menambah ilmu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program utama NTW 2025, ‘Logistics Unboxed: Empowering Workforce Beyond Borders’, di sini hari ini.

Jelas Steven Sim, penyertaan sektor swasta amat digalakkan dalam melatih pekerja masing-masing supaya negara bersedia menghadapi tuntutan masa depan sekali gus memastikan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh ekonomi tercapai.

“Saya selalu sebut kepada rakan-rakan industri agar sama-sama membantu dalam melatih pekerjanya mereka.

“Pelabur sedang datang, tetapi kita tidak cukup pekerja. Kita perlukan 5,000 jurutera, kita perlukan 10,000 juruteknik,” katanya.

Mengulas mengenai NTW, beliau memaklumkan lebih dua juta menyertainya pada tahun ini melebihi sasaran sejuta sebelum ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 41 peratus peserta melibatkan kemahiran berkaitan Industri 4.0. Ini menunjukkan komitmen negara yang kukuh dalam mempersiapkan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan era digital dan teknologi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |