PETALING JAYA – Lokasi kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak atau dikenali sebagai FT004 kini sedang giat dibaik pulih.
Menerusi satu hantaran TikTok oleh pemilik akaun @dekmat_afifi, rakaman kamera papan pemuka sekitar pukul 5 petang semalam menunjukkan kerja-kerja pembaikan jalan sedang dijalankan di sepanjang laluan berkenaan, termasuk di kawasan tragedi yang berlaku pada 9 Jun lalu.
Menurutnya, dia secara kebetulan melalui jalan tersebut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Sibuk pula jalan Gerik sekarang ni, hujan lebat pun tetap kerja,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen, ramai meluahkan rasa lega dengan perkembangan terkini laluan Gerik tersebut.
“Ini bukan orang je confuse (hairan). Gajah kawasan situ pun confuse (hairan) kenapa ramai sangat orang kat atas ni,” seloroh Yanie Aziz.
“Hikmah dari musibah, semua terjaga dari tidur yang lena. Allah dah tegur tu,” komen Ummi pula.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lokasi nahas yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di laluan FT004 merupakan antara kawasan dikenal pasti untuk kerja baik pulih tahun ini dengan peruntukan RM55 juta, menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Pada Jun 2023, beliau meluluskan RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan itu, disusuli tambahan RM30 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos untuk kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT004. -KOSMO! ONLINE
@dekmat_affifi Sibuk pulak jalan gerik sekarang ni kan 🤣🤣🤣.. hujan lebat pn tetap kerja 😅.. #bukitgerik #jalanrayatimurbarat #gengdrebarmuda #timurbarat #tragedibasupsi ♬ Leez EL – 🄿🄰🄺 🄼🄰🅃 🅃🄴🄼🄿🄴