JASIN – Seramai 47 individu yang gagal menunaikan ibadah haji susulan tiada dokumen sah ke Mekah dipercayai telah dibawa masuk melalui Turkiye menggunakan visa pelancong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pergerakan kumpulan itu tidak dapat dikesan kerana mereka pergi bukan sebagai jemaah haji.
Katanya, ia sekali gus tiada halangan dilakukan oleh pasukan khas terdiri daripada penguat kuasa Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Mengambil kira perjalanan pulang mangsa dari Turkiye dan bukannya Jeddah, kami tidak menolak kemungkinan ejen terbabit telah membawa kesemua jemaah ke negara itu terlebih dahulu menggunakan visa pelancong sebelum ‘menyelinap’ masuk ke Jeddah tanpa visa haji.
“Dalam kes ini, saya tengok mangsa dibawa dari Jeddah keluar ke Turkiye dan bukan terus ke sini (Malaysia).
“Sebelum ini kita berjaya menyelamatkan 80 bakal jemaah yang cuba bertolak ke Jeddah (menggunakan visa pelancong) dan pasukan khas kita telah tahan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Surau Al- Munawwarah di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, di sini, hari ini,
Beliau berkata, pihaknya juga yakin syarikat terlibat tidak ditauliahkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).
“Dia mungkin ejen pelancongan dan kerana itu saya sebelum ini telah berkali-kali mengingatkan bakal jemaah untuk menyemak dulu latar belakang syarikat.
“Sebelum operasi haji bermula, tidak kurang 10 kenyataan media dikeluarkan, khutbah Jumaat pun kita ada masukkan mengingatkan masyarakat tentang bahayanya menunaikan haji tanpa melalui permit dikeluarkan secara sah oleh kementerian Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan hasrat 47 warga emas untuk menunaikan Rukun Islam kelima bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Difahamkan, kesemua mangsa terperdaya dengan janji manis ejen terlibat dan dipaksa meredah laluan berbahaya serta berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah susulan tiada dokuman visa haji.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam selepas laporan polis dibuat oleh waris mangsa di Mantin dekat sini. – KOSMO! ONLINE