BANGI – Dakwaan kononnya kerajaan tidak melaksanakan reformasi institusi disifatkan sebagai tidak adil dan tidak tepat memandangkan pelbagai usaha sedang giat dijalankan secara berperingkat sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, reformasi institusi tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana melibatkan proses yang kompleks dan pelbagai pihak berkepentingan.
“Reformasi institusi adalah proses mental dan dasar yang berterusan. Ia tidak boleh dilakukan sekaligus, tetapi dilaksanakan secara berperingkat. Ini kerana setiap pindaan undang-undang memerlukan penelitian, rundingan serta kelulusan pelbagai peringkat termasuk Kabinet dan Parlimen.
“Ramai tidak faham, mereka fikir kerajaan buat undang-undang suka-suka. Sebenarnya semua perkara dibincangkan secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan. Ia bukan proses singkat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi di sini, hari ini.
Azalina berkata, antara reformasi terbesar yang telah dilaksanakan adalah penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang memisahkan pentadbiran Parlimen daripada kawalan eksekutif kerajaan.
Katanya, langkah itu membolehkan institusi Parlimen berfungsi secara lebih bebas dan berkesan dari sudut pentadbiran serta kewangan sejajar dengan prinsip pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi.
“Ramai fikir reformasi institusi hanya tertumpu pada satu segmen. Sebenarnya ia merangkumi pelbagai aspek termasuk dasar, undang-undang serta mekanisme pelaksanaan.
“Contohnya hari ini kita sedang lihat kepada pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NRP) yang baharu, serta kerangka undang-undang berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan dalam talian,” katanya.
Menurut Azalina, antara undang-undang yang sedang digubal atau dipinda termasuk berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta undang-undang digital baharu yang lebih selari dengan keperluan semasa.
Jelasnya, tanggungjawab menggubal dan meneliti semua undang-undang tersebut bukan hanya terletak pada Jabatan Peguam Negara (AGC), sebaliknya melibatkan banyak libat urus rentas kementerian dan agensi.
“Kita tidak boleh terburu-buru. Ini undang-undang negara, bukan main-main. Kita mahu undang-undang yang berkualiti dan menyeluruh. Sebab itu, prosesnya panjang,” katanya.
Katanya, meskipun wujud kritikan terhadap kerajaan, namun banyak negara luar kini mula mengiktiraf dan memuji komitmen Malaysia dalam melaksanakan reformasi institusi secara konsisten. – KOSMO! ONLINE