Kereta disyaki culik Pamela dikesan di sempadan Thailand – Peguam

7 hours ago 3

PETALING JAYA – Sebuah kereta yang dipercayai terlibat dalam kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh telah dikesan ditinggalkan berdekatan sempadan Thailand beberapa minggu lalu.

Peguam keluarga Pamela, Sangeet Kaur Deo berkata, maklumat itu diperoleh menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun sehingga kini tiada maklumat lanjut dikongsikan pihak berkuasa berhubung ujian forensik terhadap barangan yang ditemui dalam kenderaan terbabit.

“Kami dimaklumkan bahawa salah sebuah kereta yang dirakam menerusi rakaman CCTV telah ditemui terbengkalai berhampiran sempadan Thai. Tetapi hingga kini, tiada maklumat diberikan berhubung ujian forensik terhadap barangan yang ditemui dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sangeet berkata, lebih 47 individu telah dipanggil bagi memberikan keterangan, namun keluarga masih belum menerima sebarang maklum balas konkrit daripada pihak polis.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada tidak cekap atau enggan menyiasat kes ini secara serius. Kami telah memberikan lebih banyak maklumat daripada yang diminta, namun tidak satu pun ditindak balas secara profesional,” katanya.

Sangeet turut mempersoalkan sama ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah disoal siasat secara menyeluruh memandangkan kehilangan Pamela dipercayai mempunyai kaitan dengan maklumat penting yang sedang disalurkan kepada agensi berkenaan.

“Apakah jenis maklumat yang disampaikan oleh Pamela kepada SPRM dan siapa pihak berkepentingan yang mungkin terkesan? Adakah mereka ini sudah dirakam percakapan?” soal Sangeet.

Susulan itu, beliau mendesak penjelasan daripada pihak polis sama ada Polis Antarabangsa (Interpol) telah dimaklumkan memandangkan kemungkinan besar Pamela dibawa keluar dari negara ini.

Menurutnya lagi, tindakan sambil lewa dan penyiasatan yang bersifat pilih kasih jelas menafikan hak keluarga mangsa dan mencerminkan kelemahan sistem keadilan negara.

“Kami percaya siasatan ini tidak diambil serius. Sikap pilih kasih dalam penyiasatan menunjukkan ketidaktelusan yang menafikan hak asasi keluarga mangsa dan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menggesa masyarakat agar bangkit mengecam kelemahan pihak berkuasa dalam menangani kes berprofil tinggi seperti ini yang semakin berlarutan tanpa jawapan.

Pamela, 52, dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah kenderaan e-hailing dari kediamannya di Kota Damansara ke pejabat SPRM di Putrajaya pada pagi 9 April lalu.

Pemandu e-hailing terbabit kemudian membuat laporan polis, mendakwa wanita berkenaan telah ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis sebaik kenderaan mereka tiba berhampiran bangunan SPRM.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |