BSN agih dana RM5 bilion kepada PKS

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Bank Simpanan Nasional (BSN) me­nyalurkan lebih RM5 bilion pembiayaan mikro kepada hampir 170,000 usahawan mikro di ­se luruh negara sehingga kini.

Ketua Eksekutifnya, Jay Khairil berkata, dengan nilai pembiayaan yang besar itu me­nunjukkan komitmen bank tersebut bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, tetapi juga membina daya tahan komuniti.

Katanya, BSN terus aktif untuk memperkasa usahawan mikro dengan pelbagai program agar mereka terus dapat mengembangkan perniagaan masing-masing sekali gus dapat menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Terbaharu adalah Karnival BSN Mikro Madani Zon Pantai Timur di Pasar Payang, Kuala Terengganu.

“Karnival ini berfungsi sebagai platform sehenti yang menghimpunkan usahawan mikro, agensi kerajaan, institusi kewangan dan rakan industri untuk berkongsi ilmu, memperluas jaringan serta mempromosi perkhidmatan dan produk tempatan.

“Pelbagai perkhidmatan se­perti kaunseling kewangan, penstrukturan semula pembiayaan, serta program pembiayaan baharu termasuk Skim Mikro Madani turut diperkenalkan.

“Antara inisiatif utama yang diuar-uarkan ketika karnival ­berlangsung adalah BSN ­Micro Community, satu ekosistem menyeluruh merangkumi pem­biayaan, pembangunan kapasiti, pemasaran dan pendigitalan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Inisiatif itu menyaksikan impak ketara termasuk lebih 4,000 usahawan mikro dinaik taraf menjadi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), 14,800 peluang pekerjaan diwujudkan, lebih 13,000 perniagaan mencatat pe­ningkatan jualan dan 1,400 aset perniagaan diperoleh dan dipertingkatkan.

Selain itu kata Jay, karnival ini turut mengetengahkan padanan perniagaan melalui kerjasama strategik seperti Program Mo­dern Trade Ready bersama AEON Malaysia dan peluang ­pe­nembusan pasaran digital melalui platform seperti TikTok Shop.

Sempena majlis ini juga, turut berlangsung sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BSN dan beberapa rakan strategik termasuk ­MAIDAM, TikTok Shop Malaysia, SME Bank dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan sokongan Jabatan ­Penjara.

Kerjasama ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro, memperluas capaian kepada golongan terkesan, serta menyokong agenda kewangan sosial Islam seperti Program iTEKAD.

Bagi memperluaskan impak sosial, BSN bersama AKPK ­menyokong inisiatif Pusat Komuniti Tenunan Songket, Penjara Negeri Terengganu melalui program iTekad BSN MulaNiaga di bawah rangka kerja Islamic Social ­Finance (ISF). -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |