PETALING JAYA – Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike) melancarkan dua model skuter terbaharu SYM ADXTG 400 dan QJMOTOR AX200s di pasaran.
Pelancaran dua model skuter tersebut dapat memenuhi permintaan pengguna terhadap skuter yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike, Asri Ahmad berkata, ketika ini permintaan skuter di Malaysia tengah meningkat dan menguasai hampir 40 peratus pasaran.
Menurutnya, untuk itu pihaknya mengambil peluang ini untuk menambah lagi penawaran beberapa model-model skuter.
“Sebelum ini, kita juga telah melancarkan beberapa model skuter pelbagai kategori daripada beberapa jenama di pasaran bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Kali ini kami merealisasikan janji yang dibuat pada Mac lalu dengan melancarkan dua model skuter baharu di pasaran iaitu SYM ADXTG400 dan QJMotor AX200s,” katanya ketika pelancaran skuter tersebut baru-baru ini.
Tambahnya, kedua-dua model skuter yang dilancarkan ini dilengkapi dengan spesifikasi yang menarik serta fungsi terkini.
Harga yang ditawarkan untuk model SYM ADXTG400 adalah RM29,888 manakala untuk QJMotor AX200s adalah RM7,988.
Dalam pada itu, SYM ADXTG 400 merupakan antara skuter yang dinantikan oleh pengguna.
Skuter ini dicipta khas untuk penunggang yang mendambakan kuasa, pengembaraan dan keselesaan Ketika menunggang.
Asri berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual 1,200 unit SYM ADXTG 400 sehingga hujung tahun ini.
“Permintaan untuk model ini pada ketika ini sesuatu di luar jangka dan kami yakin mampu untuk mencapai sasaran tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE