SELAMAT datang ke pentas hiburan Malaysia, sebuah lorong penuh air mata yang dibotolkan, ditayang, kemudian dijual sebagai simpati.
Seminggu satu episod. Hari ini penagih, esok mangsa. Hari ini bersalah, esok dijulang suci.
Dalam dunia glamor ini, pelakon utama jarang mengaku silap, manakala penonton pula seperti biasa, diharapkan faham dan terus bersangka baik.
Setiap minggu, industri hiburan bagaikan pentas sarkas yang tak pernah sunyi daripada gelagat watak-watak bermasalah, menyajikan drama berbaur dadah, penjara, tangisan, perceraian dan segala jenis ‘malapetaka’ yang kadangkala sukar ditonton tanpa menepuk dahi.
Skripnya tetap sama, cuma pelakonnya silih berganti. Wataknya itu-itu juga, naif, teraniaya dan ‘tidak bersalah’.
Seperti deja vu tak berpenghujung, hanya kali ini, lokasi babak bertukar ke Tanah Suci.
Kisah pelawak popular, Yassin Senario, yang didakwa ditahan di Arab Saudi atas kesalahan membawa dadah sebelum akhirnya dibebaskan, kembali membuka ranjau hidup bergelar selebriti Malaysia.
Kisah hitam putih yang lebih memilukan daripada naskhah sinetron 200 episod.
Setelah sekian lama spekulasi bukan-bukan bertebaran malah khalayak sudah mula berteka-teki, Yassin akhirnya memecahkan kebisuan.
Pelawak berusia 47 tahun itu tampil menceritakan hal sebenar dan detik-detik hitam ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.
Rupa-rupanya bukan ganja atau dadah seperti digembar-gemburkan, sebaliknya hanya rokok dan grinder yang disalah tafsir.
“Saya menaiki penerbangan lapan jam ke Jeddah. Sebelum berlepas, saya terfikir bagaimana nak merokok di sana. Jadi saya beli rokok kertas, grinder dan sekotak rokok di lapangan terbang.
“Sampai Jeddah, beg saya diimbas. Kastam arahkan saya buka beg sebab nampak sesuatu. Mereka pegang grinder yang ada lambang mencurigakan, terus mereka selongkar semua.
“Saya cakap, ini rokok. Kalau ragu-ragu boleh buat ujian air kencing. Tapi saya tetap dibawa ke bilik soal siasat,” katanya.
Masuk lokap ‘level’ antarabangsa
Dedahnya, dia ke Tanah Suci hasil tajaan umrah bersama 24 artis veteran, namun peluang keemasan itu berubah menjadi igauan ngeri tatkala dirinya digari dan dihumban ke lokap seolah-olah penjenayah antarabangsa.
Enam bulan terpenjara di bumi Arab, pelakon Duyung itu mengakui bukan satu pengalaman yang mudah bahkan, babak pertama dalam sel tahanan cukup menggerunkan.
“Keadaan di lokap menyedihkan. Kali pertama saya tidur berdiri sebab lantai penuh.
“Saya akhirnya dapat juga tidur di depan pintu tandas. Nampak kaki orang langkah saya dalam masa lapan hari,” luahnya.
Selepas 10 hari di balai polis, dia dipindahkan ke Pusat Pentadbiran dan Pengusiran Warga Negara Asing.
Bapa empat anak itu kemudiannya dibicarakan secara dalam talian dan dijatuhi hukuman enam bulan penjara atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan, sesuatu yang mungkin dianggap remeh, tetapi memberi kesan besar.
“Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apa pun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya,” jelasnya.
Lebih tragis, bekas peserta Sinaran Pasport Kegemilangan 1998 itu pulang ke tanah air minggu lalu sehelai sepinggang, meninggalkan semua barangan peribadi di Jeddah.
“Alhamdulillah, ini bukanlah ‘mati hidup semula’, tapi merupakan peluang seterusnya dan saya sudah menamatkan pengajian ‘universiti’ di Jeddah.
“Saya tinggalkan semua barang di Jeddah sebagai kenangan indah. Yang penting, pengajian sudah tamat dan saya boleh balik,” katanya penuh makna.
Insaf dengan segala terjadi, Yassin turut menitipkan pesanan buat jemaah umrah agar lebih berwaspada dengan barangan dibawa ke Tanah Suci, agar tidak mengundang salah faham atau fitnah.
“Allah mengetahui segala sesuatu dan ini adalah perjalanan saya. Saya yakin musibah ini adalah kebaikan buat saya. Saya bersangka baik dan reda
“Kebenaran itu akan tiba. Saya tidak marah kepada sesiapa. Saya berterima kasih kepada mereka yang ambil berat, dan saya maafkan mereka yang menyebarkan fitnah kerana mungkin mereka risaukan saya.
“Saya bermuhasabah dan berazam untuk memperbaiki diri,” ujarnya.
Tuntasnya, moga kisah hitam putih Yassin itu menjadi cermin besar buat semua, bahawa satu silap kecil mampu menggelapkan seluruh pelangi impian.
Ironinya juga dalam kebanyakan pengakuan yang memaparkan drama realiti selebriti Malaysia, ada satu tema berulang iaitu tidak bersalah, teraniaya dan jadi mangsa keadaan. Jarang kita dengar mereka kata, “aku cuai, salah aku.”
Masyarakat pula setia menjadi penonton, menanti babak demi babak, walaupun kadangkala kelihatan seperti memakan skrip kitar semula.
Namun, rakyat sudah penat mendoakan watak-watak ini yang tidak pernah belajar dari plot terdahulu. Kalau boleh, mereka mahu sinetron ini berakhir. Cukup-cukuplah.