MELAKA – Pihak pendakwaan kes skandal seks tular, Cikgu Fadilah dan ‘Abang CCTV & Wiring’ dalam hujahnya menegaskan pasangan itu seharusnya dikenakan hukuman rejam sampai mati sekiranya pelaksanaan dibuat mengikut hukum hudud.
Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin berhujah bahawa pada dasarnya telah ada faktor yang menunjukkan kedua-dua tertuduh telah melakukan perbuatan zina.
Jelasnya, pendakwaan bagaimanapun hanya dapat dibuat mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu atas kesalahan cubaan zina dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya sekali.
“Dalam kes ini pihak pendakwaan ingin menyatakan bahawa tidak ada satu yang khusus (enakmen) berkaitan dengan kesalahan persetubuhan luar nikah ataupun berzina antara seorang yang bukan suami isteri.
“Kalau kita kembali kepada kedudukan dalam hukum syarak, kedua-dua tertuduh ini pesalah yang pernah berkahwin dan mengikut hukum hudud mereka perlu direjam sampai mati.
“Tapi memandangkan undang-undang yang diberikan kepada pihak kita, hukuman maksimum yang dibenarkan iaitu denda maksimum RM5,000 atau yang mana kalau kita lihat dalam syarak amat jauh (ringan) sekali,” hujahnya.
Terdahulu dalam prosiding itu, tertuduh, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, dan Nur Fadilah Zainal, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati telah melakukan percubaan persetubuhan haram dengan yang bukan isteri atau suaminya yang sah di sisi syarak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Emas, Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah di sini kira-kira pukul 9 malam, 28 Februari lalu.
Hujah Atras lagi, hukuman setimpal juga perlu diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat Islam di seluruh negara.
“Tertuduh wanita merupakan seorang warga pendidik dan sudah pasti keputusan mahkamah ini akan menjadi perhatian dan panduan pada masa akan datang, manakala tertuduh lelaki merupakan seorang suami namun telah melakukan perkara di luar batas,” hujahnya.
Selepas mendengar hujah itu, mahkamah bersetuju mengenakan hukuman maksimum denda sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal bayar.
Dalam prosiding itu Atras turut dibantu Pendakwa Syarie Radzwan Abdullah.- KOSMO! ONLINE