Maut tiga sekeluarga: Kakak tak sempat lihat adik kahwin esok

1 day ago 10

KUALA KRAI – Adik kepada salah seorang daripada tiga sekeluarga yang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 104 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Sungai Sam di sini hari ini sedih apabila kakaknya tidak sempat melihat dia diijab kabulkan esok.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, dan anak, Nur Atikah Najihah Mohd. Shah Penilzain, 18, dan menantunya, Mohamad Faris Kamaludin, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Adik kepada Nurul Ain, Mohd. Syafiq Abdul Rahim, 24, berkata, dia amat sedih apabila kakaknya tidak sempat melihat dia melangsungkan perkahwinan di Besut, Terengganu esok.

Menurutnya, tiga sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Johor Bahru, Johor ke kampung halaman kakak di Kampung Kayu Rendang, Melor di Kota Bharu dan mereka dijangka bertolak ke Besut esok untuk menghadiri majlis perkahwinannya.

“Mereka bertiga bergerak dari Johor Bahru kira-kira pukul 1 pagi tadi. Sebelum kejadian, saya sudah memaklumkan agar mereka pulang ke Kelantan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), namun kakak berkeras mahu melalui Jalan Gua Musang.

“Saya sempat berhubung dengan kakak pada pukul 10.30 pagi tadi dan mereka memaklumkan sudah berada di Chiku, Gua Musang,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Mohd. Syafiq (kanan) bersama adiknya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai hari ini.

Mohd. Syafiq memberitahu, dia mengetahui kemalangan menimpa kakaknya itu selepas menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, dia tidak menyangka video kemalangan yang tular di laman sosial itu melibatkan keluarga kakaknya.

“Selepas meneliti dan melihat warna kereta Perodua Myvi yang tular, saya terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk membuat pengesahan.

“Polis kemudian mengesahkan kakak, anak dan menantunya maut dalam kemalangan tersebut” katanya.

Mohd. Syafiq berkata, kereta yang dipandu Mohamad Faris turut membawa barangan hantaran untuk perkahwinannya yang disiapkan oleh Nur Atikah Najihah.

Tambahnya, ketiga-tiga jenazah itu akan dibawa pulang ke kampung halaman kakaknya di Kampung Kayu Rendang untuk urusan pengebumian.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, tiga sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka tidak lepas memotong di garisan berkembar sebelum bertembung sebuah bas ekspres di Kilometer 104, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Sam di sini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 11.50 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Mohamad Faris bersama isteri, Nur Atikah Najihah dan ibunya Nurul Ain meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |