RAWANG – “Nurcahaya sama-sama beri kekuatan kepada saya. Saya pun beru kekuatan kepada menantu saya, minta supaya dia kuat.”
Itu luahan ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang menyifatkan mereka kini saling menguatkan antara satu sama lain selepas kehilangan insan tersayang yang maut selepas ditikam dalam kejadian di Korea Selatan, Ahad lalu.
Menurut ibu Allahyarham, Zulfah Fadliani, 47, dia dan menantunya, Nurcahaya Ruslan, 30, mengakui masih bersedih dengan pemergian arwah, namun reda dan harus tabah bagi meneruskan kehidupan selepas tragedi berkenaan.
“Setakat ini keadaan (menantu saya) okey, alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Bandar Tasik Puteri di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Zulfah menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada rakyat Malaysia yang membantu keluarga mereka sehingga urusan membawa pulang jenazah Ahmad Shah selesai.
“Saya bersyukur alhamdulillah kerana rakyat Malaysia membantu keluarga kami sehingga urusan anak saya selesai dibawa pulang ke tanah air sampai ke tanah perkuburan.
“Sangat-sangat bersyukur dan terima kasih banyak-banyak. Saya harap semua yang membantu rakyat Malaysia, Allah akan membalas segala urusan yang dipermudahkan,” ujarnya.
Zulfah berkata, menantunya dijangka pulang dari Korea Selatan pada September ini selepas menyelesaikan beberapa urusan termasuk menguruskan barangan peribadi Allahyarham.
“Dia akan pos semua barang-barang arwah. Dia tidak akan duduk di Korea lagi, dia akan menetap di (Malaysia) selepas ini. Cuma urusan untuk menjual kereta dan barang-barang lain mungkin mengambil sedikit masa,” jelasnha.
Terdahulu, jenazah Ahmad Shah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Tasik Puteri, di sini kira-kira pukul 10 malam selepas selesai solat Isyak.
Sebelum ini, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam kejadian di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara.
Mangsa berusia 26 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian ketika dipercayai cuba membantu rakan yang diserang sekumpulan individu.
Susulan kejadian itu, polis Korea Selatan menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
9















![[VIDEO] Penganjur RXZ Members digesa beri anugerah kepada ‘Pak Su Tomoi’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/d1cd6874-dae9-4887-9372-773c573d6ae4.jpeg)

































