MALAM gala tayangan Abah Saya, Uncle Mike bertukar menjadi sebuah ritual air mata.
Bukan hanya sekadar layar putih memaparkan kisah benar penuh getir, tetapi sebuah cermin jiwa yang memantulkan erti kasih sayang tanpa sempadan bangsa dan agama.
Di saat ramai pembikin filem lebih selesa menghidangkan karya seram atau aksi, muncul naskhah ini sebagai peluru berani, menongkah arus membawa drama realisme yang mencengkam jiwa.
Lebih menggetarkan, figura sebenar Michael Tong Wai Siong atau mesra digelar Uncle Mike, duduk tenang di barisan penonton bersama tiga anak angkatnya iaitu Rafaei, Rasyid dan Rahman.
Melihat sendiri insan yang kisahnya diangkat ke layar lebar, penulis tersedar bahawa dalam dunia penuh kepalsuan, masih wujud manusia berhati emas yang sanggup berkorban demi anak bangsa lain.
Detik itu membuatkan setiap hela nafas di pawagam berasa berat, seolah-olah semua yang hadir turut menanggung sebahagian daripada perjalanan hidup Uncle Mike.
Di bawah arahan sulung Ezrie Gazali, filem tersebut mencatatkan keberanian bukan kecil.
Mengisahkan tiga beradik yatim piatu melarikan diri dari rumah kebajikan kerana derita didera.
Pertemuan dengan Uncle Mike mengubah segalanya, lantas membuka wacana besar iaitu keluarga tidak semestinya terikat menerusi darah, tetapi pada kasih, penerimaan dan kesetiaan.
Ketelitian naratifnya membuktikan skrip ini digarap dengan niat mendidik, bukan sekadar menghibur.
Pesan Uncle Mike sendiri berulang kali ‘menggegarkan’ layar: ‘Jangan pernah takut untuk melakukan kebaikan.’
Pesanan ringkas, namun di tangan Ezrie Gazali, semua itu menjadi mantera yang mengalir indah dalam naratif.
Dari sudut lakonan, Andy Teh wajar dipuji kerana berjaya mengikis imej ganas kepada bapa penyayang.
Lakonannya sarat emosi, terkawal dan meyakinkan sehingga Uncle Mike sebenar menilai persembahan itu dengan skor ‘10 daripada 10’.
Setiap senyum, tangisan, terasa hidup, seolah-olah jiwa sebenar Mike dipinjamkan kepadanya.
Begitu juga dengan tiga pelakon kanak-kanak iaitu Idan Aedan (Rafie), Nor Merah (Rasyid) dan Umar Shakur (Rahman).
Keserasian mereka terasa tulen, dialog diungkap penuh emosi, seolah-olah pertalian darah benar-benar wujud.
Di sebalik kekalutan plot, lapisan moral yang diangkat tidak pernah goyah. Penonton dipandu menilai semula konsep kemanusiaan, agama, budaya dan adat dalam kerangka Malaysia majmuk.
Secara teknikal, filem ini hampir sempurna. Setiap peralihan babak lancar malah visual dirakam dengan ketelitian yang jarang kita saksikan dalam filem tempatan.
Kamera bekerja seperti mata hati, mencari momen, bukan sekadar gambar.
Jujur, penulis tidak mahu mengulas panjang tentang keseluruhan plot. Cukuplah disimpulkan, Abah Saya, Uncle Mike ialah karya agung yang harus ditonton semua.
Abah Saya Uncle Mike Pengarah: Ezrie Ghazali Pelakon: Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur Syarikat penerbitan: Astro Shaw, Le Mediator Studio Tayangan: 28 Ogos 2025 Bintang:★★★★★