“SAYA dapat tengok abah, di CD karaoke atau televisyen saja.”
Berbunyi sedikit meruntun perasaan, namun demikianlah patah kata yang terbit dari bibir penyanyi Syafiq Farhain saat mengimbas kenangannya membesar sebagai anak kepada penyanyi legenda, Allahyarham Saleem, vokalis kumpulan Iklim.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A.M Salim, 34, dia tidak mempunyai banyak memori bersama bapa ketika kecil kerana orang tuanya bercerai semasa dia baru berusia 10 tahun.
“Jujur, saya tidak ingat banyak memori bersama arwah abah kerana semasa kecil, saya membesar dengan ibu. Ayah jarang pulang ke rumah.
“Masa kecil, ketika saya berusia enam tahun, jika rindu abah, saya akan buka CD karaoke. Walaupun masih kecil, jika dalam video muzik itu abah menangis, saya turut berasa sedih.
“Mungkin masa itu, saya rindukan ayah tetapi masih kecil tidak tahu hendak luahkan,” kata Syafiq membuka bicara tentang kehidupan zaman kanak-kanak.
Masih segar dalam ingatannya perasaan teruja membuak-buak saat dihubungi bapa menerusi telefon di rumah jiran.
“Waktu itu rumah kami tiada telefon dan abah sudah sibuk dengan kerjaya nyanyian bersama kumpulan Iklim. Jadi, bila abah telefon, saya sangat gembira.
BIARPUN sering ditinggalkan sejak kecil, bahkan tidak sempat membesar bersama figura seorang bapa, Syafiq tetap memuja Saleem sebagai ‘abah’ yang begitu menginspirasikan.“Sebagai kanak-kanak, saya akan minta macam-macam seperti basikal dan komputer sebab nak main game. Tapi arwah abah akan bawa balik gula-gula setiap kali pulang (ketawa),” kongsi Syafiq yang merupakan anak ke empat daripada lima adik-beradik hasil pernikahan pertama Saleem.
Biarpun tidak membesar dengan figura seorang bapa, Syafiq bersyukur kerana dididik seorang ibu dengan baik dan masih menjaga hubungan baik dengan bekas suami sehingga dewasa.
“Mak yang banyak mendidik saya. Walaupun keadaan begitu, mak tidak pernah ajar saya marah kepada ayah.
“Mungkin saya tidak dapat kasih sayang dan perhatian seperti anak-anak lain, tetapi saya tidak membesar dengan rasa benci atau dendam,” katanya.
SERING mendendangkan lagu-lagu dendangan asal bapanya, Syafiq akui secara tidak langsung dia sebenarnya meneruskan legasi Saleem dalam dunia muzik tanah air.Inspirasi
Meski tidak sempat belajar menyanyi secara langsung daripada bapanya kerana terpisah oleh jarak sejak terlalu kecil, pengaruh Allahyarham tetap besar dalam pembentukan identiti dan cara nyanyian Syafik sehingga hari ini.
Katanya, cara dia menyanyi sedikit sebanyak terhasil daripada kebiasaan mendengar suara Saleem sejak kecil.
“Dari segi muzik dan nyanyian, abah banyak memberi saya inspirasi walaupun sekadar melihat dari dalam televisyen atau dengar radio.
“Saya tidak sempat belajar secara langsung, tapi pengaruh arwah abah datang daripada apa yang saya lihat di sekeliling” ujarnya.
Bercerita lanjut tentang bakat, Syafik juga dikenali sebagai atlet dan pernah mewakili negeri Terengganu untuk sukan hoki sewaktu zaman persekolahan.
Jelas Syafiq biarpun dia adalah anak kepada Saleem, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mengikut jejak langkah bapanya.
“Semasa sekolah saya lebih minat sukan, saya boleh menyanyi tetapi sebab pemalu tidaklah pernah terbayang mahu jadi penyanyi,” tuturnya.
Namun, tuahnya dalam bidang nyanyian semakin cerah apabila dia menyertai pasukan bomba ketika berusia 19 tahun.
Tambah Syafiq, semuanya berlaku secara kebetulan, apabila dia menyertai kombo bomba Johor dan memerlukanya berlatih banyak lagu untuk pertandingan.
“Sebenarnya, selepas masuk bomba barulah bakat nyanyian diasah. Waktu itu, saya popular dalam aplikasi Smule, tapi disebabkan malu, video saya semua hanya nampak sebelah wajah saja.
“Disebabkan pemalu juga, walaupun orang tidak kenal, setiap kali keluar di tempat awam saya akan pakai baju hoddy. Takut orang kenal (ketawa),” kata Syafiq yang kini bertugas di jabatan korporat bomba Putrajaya.
AKTIF sebagai atlet semasa zaman persekolahan, Syafiq Farhain hanya berjinak-jinak dengan nyanyian sewaktu menyertai pasukan bomba ketika berusia19 tahun.
Saleem buka jalan
Bercerita tentang karier, nyanyian awalnya dianggap sekadar hobi. Dia bahkan hanya menerima bayaran sebanyak RM300 untuk satu undangan.
Tiada pengetahuan dan hala tuju dalam karier seni menyebabkan Syafiq menerima sahaja harga yang ditawarkan penganjur kerana beranggapan dia bukanlah penyanyi popular.
“Selepas saya semakin banyak buat persembahan secara kecil-kecilan, arwah abah tanya, memang betul ke saya nak menyanyi secara serius?
“Saya hanya mengangguk kepala, terus dia bawa saya ke label muzik tanpa banyak tanya, saya terus jadi artis rakaman.
“Arwah abah nampak sesuatu dalam diri saya dan dia yang membuka jalan. Walaupun dahulu saya tidak dibesarkan dengan figura seorang abah, hari ini bila saya keluar menyanyi, banyak lagu arwah yang saya bawa,” katanya yang juga merupakan naib juara program Big Stage musim pertama.
Perjalanan masih jauh dan kehidupannya tidak sempurna, namun penyanyi lagu, Sayang Maafkan Aku itu melihat kehidupan dari sudut yang lebih besar.
Dia mungkin tidak sempat merasa kasih sayang seorang bapa seperti orang lain, namun Allahyarham Saleem meninggalkan sesuatu yang terus hidup dalam dirinya. Sesuatu yang sebenarnya satu anugerah iaitu suara, darah seni dan legasi.
“Mungkin saya tidak dapat kasih sayang itu sepenuhnya, tetapi saya dapat menilai. Apa yang saya ada hari ini, banyak juga datang daripada arwah.
“Bila saya menyanyi lagu-lagu dia, rezeki itu mengalir di situ. Legasi dia tetap ada bersama saya,” katanya menutup bicara.
Tidak sepenuhnya mendapat kasih sayang seorang bapa, Syafiq menyedaro satu hakikat bahawa Saleem telah meninggalkan satu anugerah yang cukup berharga buat dirinya. – Foto Ihsan Syafiq Farhain
14 hours ago
7

![[VIDEO] Bas tukar lorong tiba-tiba, Civic Ferio nyaris remuk](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-04-at-10.01.41-PM.jpeg)















































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)