KUALA LUMPUR – Mangsa pelaburan mata wang Forex menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan bagi menghadapkan sindiket terbabit ke muka pengadilan.
Syarikat itu yang menyasarkan mangsa dari Taiwan, Kanada dan China didakwa dimiliki individu warga Malaysia serta mempunyai ejen rakyat negara ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sebanyak 209 laporan polis dibuat pengadu didakwa diperdaya pelaburan Forex didaftarkan di Kepulauan Seychelles, Afrika.
Menurutnya, mangsa dijanjikan pelaburan sehingga tujuh peratus namun sejak 2021, sindiket terbabit menukar wang pelaburan mangsa kepada bentuk ‘coin’ yang tiada nilai.
“Akibat itu, seramai 209 mangsa mengalami kerugian mencecah RM82.16 juta. Daripada 209 laporan dibuat, sebanyak 105 dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta refer to other agency (ROR).
“Walaupun sebelum ini ada tangkapan lima individu pihak polis namun sehingga kini tiada sesiapa dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Menara KPJ, di sini hari ini.
Sementara itu, mangsa dikenali sebagai Vincent, 38, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian wang kira-kira RM120,000 akibat terpedaya dengan pelaburan terbabit.
Katanya, sebelum melabur, dia telah membuat semakan terhadap syarikat terbabit dan mendapati ia ‘sah’ dalam industri pelaburan.
“Musnah harapan saya dan keluarga kerana wang tersebut untuk berkahwin dan menampung pembelajaraan adik-adik saya,” ujarnya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Ganesh, 50, berkata, dia bersama kira-kira 10 ahli keluarga mengalami kerugian mencecah RM2 juta.
“Kebanyakan kami ketika itu ada kehilangan kerja dan tertarik dengan pelaburan terbabit kerana syarikat terbabit dilihat beroperasi sejak lapan tahun lalu.
“Kami faham wang kami tidak dapat dipulangkan namun berharap suspek-suspek kes ini dapat didakwa ke mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, seramai lima individu telah ditahan berkaitan pelaburan Triumph FX dan siasatan masih diteruskan polis.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, semua individu disyaki pemilik keldai akaun berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada tahun lalu dan awal tahun ini. – KOSMO! ONLINE