BARISAN pemain skuad ASEAN All-Stars meraih khabar gembira apabila pengurus Manchester United, Ruben Amorim akan meneliti bakat-bakat bintang bola sepak rantau Asia Tenggara menjelang aksi persahabatan malam esok.
Menurut Amorim, kemungkinan untuk memberi peluang kepada mana-mana pemain sekiranya dilihat memiliki kualiti tetap ada jika tampil cemerlang pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.
“Kami mahukan pemain terbaik di seluruh dunia. Kalau ada yang memiliki nilai, mereka boleh berada dalam senarai kami. Kami adalah pasukan yang dibentuk dengan pemain dari seluruh dunia.
“Kami tidak mengira anda dari negara ataupun mana-mana bahagian dunia sekalipun, jika ada yang terbaik, kami akan mempertimbangkannya,” kata Amorim.

Sebagai rekod, lima pemain bertaraf kebangsaan telah dipilih membarisi skuad ASEAN All-Stars seperti Haziq Nadzli, Azam Azmi Murad, Adib Ra’op, Declan Lambert manakala Sergio Aguero dilantik sebagai kapten.
Pengendali pasukan, Kim Sang-sik turut memanggil beberapa pemain ternama rantau Asia Tenggara seperti bintang Australia seperti Harrison Delbridge dan Adrian Segecic selain daripada negara Thailand, Vietnam dan Indonesia. – KOSMO! ONLINE