‘Manalah saya ada duit RM300’

1 day ago 7

KEMAMAN – Kesempitan hidup memaksa seorang ibu tunggal menangguhkan rawatan hemodialisis bagi mengubati penyakit buah pinggang kronik yang dihidapinya sejak enam bulan lalu.

Rosila Noor, 54, berkata, dia kehilangan pendapatan sebagai buruh ladang kelapa sawit akibat keuzuran setelah disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.

“Sejak disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik pada bulan Oktober tahun lalu, baru dua kali menjalani hemodialisis.

“Sepatutnya tiga kali ­seminggu tetapi saya tidak mampu kerana kos setiap kali rawatan mence­cah RM300,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Lesung, Kijal di sini baru-baru ini.

Menurut Rosila, tubuhnya menjadi lemah sehingga terpaksa terlantar akibat tidak mendapatkan rawatan hemodialisis terbabit.

Ibu kepada enam anak itu menambah, dia risau memikirkan kebajikan tiga lagi anaknya yang masih bersekolah dan belajar di institusi pengajian tinggi.

“Paling menyedihkan, dua anak yang tua iaitu Mohd. Ikram Nizam Maae, 29, dan Nor Ain Natasha, 24, sanggup berhenti kerja dan pulang ke kampung demi menjaga saya dan adik-adik.

“Saya berhasrat untuk membuat permohonan bantuan rawatan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial. Sekarang masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital,” katanya.

Sementara itu, Nor Ain Natasha yang sebelum ini bekerja sebagai guru taska di Shah Alam, Selangor nekad berhenti kerja kerana tidak sanggup melihat penderitaan ibunya.

“Buat masa ini, saya dan abang-abang menggunakan baki wang simpanan bagi menampung perbelanjaan harian dan menyara tiga lagi adik yang masih belajar.

“Kami rayu bantuan mana-mana pihak agar mak (Rosila) kembali dapat menjalani rawatan hemodialisis dengan segera,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank CIMB anak sulung Rosila, Mohd. Ikram Nizam bernombor 7642263007 atau menghubungi di talian 011-6109 4809.

Read Entire Article
Pertanian | | | |