Malaysia, UK perkukuh dagangan, kerjasama B2B

1 day ago 7

PETALING JAYA – Malaysia dan United Kingdom (UK) bersetuju untuk terus memperkukuh hubungan dagangan termasuk menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan kerjasama dalam kalangan sektor swasta (B2B) yang mampu memberikan kelebihan strategik kepada kedua-dua negara.

Perkara itu susulan pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar, Steve Reed di London bagi membincangkan peluang kerjasama dua hala yang lebih mendalam antara Malaysia dan UK.

Ahmad Zahid berkata, dalam perbincangan itu, beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk menjadi Hab Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN, terutamanya dalam bidang bernilai tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik (EV), industri penerbangan dan tenaga hijau.

Menurutnya, beliau berkongsi hasrat Malaysia untuk memperluaskan kerjasama dengan institusi akademik dan industri di UK dalam usaha memperkukuh latihan, pensijilan dan kebolehpasaran graduan TVET negara.

“Dalam bidang pembangunan luar bandar pula, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk mempelajari pendekatan UK dalam menjadikan kawasan luar bandar sebagai zon pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Kami turut membincangkan tetang aspek pengurusan bencana, pengurusan air bersih dan keperluan teknologi baharu dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap perubahan iklim dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh soal kerjasama dalam tenaga boleh baharu, termasuk merealisasikan pembangunan Grid Kuasa ASEAN dan peluang pelaburan dalam sektor tenaga solar dan tenaga hijau.

“UK melalui penubuhan syarikat nasional GB Energy menunjukkan komitmen tinggi dalam agenda pembangunan tenaga boleh baharu. Malaysia bersedia untuk menjadi rakan kongsi strategik dalam pembangunan sektor ini.

“Saya juga mengetengahkan potensi instrumen kewangan Islam seperti sukuk yang mampu menyokong kerjasama dalam pembiayaan iklim dan pembangunan mampan.

“Ini bagi memangkin industri halal global yang menjurus kepada penubuhan Majlis Halal Dunia dan satu logo halal yang seragam bagi memperkukuh keyakinan pengguna antarabangsa terhadap piawaian halal Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau percaya pertemuan ini membuka ruang baharu dalam memacu kerjasama Malaysia-UK ke tahap lebih strategik, khususnya dalam membina masa depan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |