Malaysia perluas edaran buku tempatan ke ASEAN

4 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Malaysia kini menerajui inisiatif memperluaskan edaran buku tempatan ke negara-negara ASEAN, khususnya dalam bahasa Melayu tanpa penterjemahan.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Asia (ABPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, ini merupakan perdagangan hak cipta yang menggalakkan pertukaran karya dari satu negara ke negara lain melalui proses terjemahan dan pembelian hak.

“Kita lakukan pertukaran hak cipta. Kalau kita ada buku dari Malaysia yang sudah diterjemahkan ke bahasa lain, kita boleh jual hak cipta itu kepada negara luar.

“Mereka pun datang untuk beli hak cipta daripada kita,” katanya pada Asian Rights Fair 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurutnya, sudah tiba masanya buku tempatan dibawa ke negara jiran dalam bentuk asal tanpa sebarang penyesuaian bahasa.

“Selama ini kita banyak menerima buku dari negara jiran, tetapi sangat sedikit buku Malaysia sampai ke pasaran mereka,” ujarnya.

Sheikh Faisal berkata, fenomena tersebut telah berlaku sejak sekian lama apabila ramai penerbit tempatan membawa masuk buku dari negara jiran untuk dijual di pasaran Malaysia.

“Inilah masanya kita ubah keadaan itu. Kita mahu pastikan buku dalam bahasa kita juga boleh diimport secara terus tanpa dialih bahasa atau diterjemahkan,” katanya.

Tambahnya, minat terhadap bahan bacaan dalam bahasa ibunda kini semakin bertambah, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

“Kita tahu ada rakyat kita di luar negara yang masih mahu membaca dalam bahasa sendiri, namun akses kepada bahan tersebut sangat terhad.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pembangunan Buku Filipina (BDAP), Andrea Pasion-Flores turut menekankan kepentingan penerbitan dalam bahasa tempatan.

“Di Filipina, kebergantungan kepada bahasa Inggeris menyebabkan industri terjemahan kurang berkembang kerana tidak ramai penerbit melihat keperluan untuk menterjemah karya ke dalam bahasa tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |