Malaysia perkasa usaha angkat MMA ke Sukan SEA

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR -Selepas mencipta sejarah menganjurkan Kejohanan MMA Asia GAMMA 2026 buat julung kalinya, Malaysia kini mengorak langkah lebih besar apabila menyasarkan seni bela diri campuran (MMA) disenaraikan sebagai acara rasmi pada Sukan SEA.

Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Malaysia (MASMMAA), Dr. Alvin Cardall Chong, berkata kejayaan menjadi tuan rumah kejohanan itu membuktikan negara memiliki kemampuan dari segi penganjuran, pengurusan dan pembangunan atlet bagi sukan berkenaan.

Beliau berkata, Kejohanan MMA Asia GAMMA 2026 yang berkahir pada Ahad lalu di Putrajaya berjaya menghimpunkan atlet dari 15 negara, manakala keseluruhan delegasi termasuk pegawai, pengadil dan wakil persatuan membabitkan 21 negara.

“Ini adalah kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan MMA Asia GAMMA. Selepas dua tahun kejohanan ini tidak dianjurkan, kami diberi kepercayaan untuk menjadi hos.

“Sambutan juga amat baik dan kejohanan ini juga merupakan peluang kepada atlet kita menimbang pengalaman ketika berdepan lawan yang hebat,” katanya.

Menurut Dr. Alvin, kejohanan itu menjadi platform terbaik untuk atlet amatur negara menimba pengalaman sebelum menghadapi temasya lebih besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

Tegasnya, MMA semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa selepas dipertandingkan sebagai sukan demonstrasi pada Sukan SEA Thailand sebelum ini dan bakal menjadi acara menawarkan pingat pada Sukan Asia di Jepun.

“Perkembangan ini menunjukkan MMA sedang berkembang dengan pesat dan kami mahu Malaysia turut berada dalam kelompok negara yang mampu bersaing di pentas tertinggi,” katanya.

Pada kejohanan kali ini, sebanyak 37 kategori dipertandingkan dengan Malaysia mempertaruhkan hampir 20 atlet dalam pelbagai peringkat umur.

Skuad negara turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila meraih dua pingat emas dalam kategori belia, selain menambah koleksi satu emas, satu perak dan lapan gangsa dalam kategori lain.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Global (GAMMA), Jovinus C. Lagawa, berkata penubuhan Liga MMA ASEAN seawal tahun depan dijangka menjadi pemangkin penting untuk merealisasikan impian melihat sukan itu dipertandingkan secara rasmi pada Sukan SEA.

Menurutnya, cadangan itu sudah mendapat sokongan awal daripada lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina yang bersetuju menjayakan liga berkenaan.

Beliau berkata, Indonesia berpotensi menjadi tuan rumah pusingan pertama sebelum saingan diteruskan secara bergilir di Malaysia, Kemboja dan Thailand.

“Kami berharap Liga MMA ASEAN dapat dimulakan secepat mungkin kerana masa depan sukan ini di Asia Tenggara sangat cerah.

“Liga ini bukan sahaja mampu meningkatkan tahap persaingan, malah menjadi platform melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia,” katanya. -KOSMO!  ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |