Malaysia Masters: Wei Chong-Kai Wun tundukkan senior di final

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penantian untuk merangkul gelaran pertama di laman sendiri selepas muncul juara pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung sebentar tadi, pasangan No.8 dunia itu membenam cabaran rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerusi kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam tempoh 50 minit.

Walaupun berdepan Aaron-Wooi Yik yang turun selaku pilihan keempat kejohanan, Wei Chong-Kai Wun menunjukkan semangat juang cukup tinggi apabila memberikan tentangan sengit kepada bekas juara dunia itu.

Menerusi keputusan itu, Wei Chong-Kai Wun kini melebarkan rekod kepada tiga kemenangan ke atas Aaron-Wooi Yik dalam lima pertemuan selepas turut menewaskan pasangan tersebut pada Terbuka Arctic 2023 dan ketika memenangi Indonesia Masters Januari lalu.

“Dapat menang di Malaysia memang sangat bangga dan gembira. Bagi saya, tidak sama perasaan (menang di tempat sendiri) walaupun bertemu sesama sendiri. Penyokong pun ramai datang hari ini.

“Satu perkara yang sangat baik kerana penyokong pun tidak tahu nak sokong siapa, mereka hanya sebut Malaysia. Bagi saya, perkara ini sangat istimewa,” kata Kai Wun ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

WEI Chong (kanan) dan Kai Wun meraikan kemenangan selepas menewaskan Aaron-Wooi Yik. – ISKANDAR ISHAK

Selaku juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,768) berserta pingat manakala Aaron-Wooi Yik berpuas hati dengan AS$18,050 (RM76,369) dan pingat.

Sementara itu, mereka juga meraih 9,200 mata hasil daripada kemenangan tersebut dan berkemungkinan besar melonjak kedudukan ranking yang akan dikemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Selasa ini.

Kemenangan Wei Chong-Kai Wun turut meranapkan hasrat Aaron-Wooi Yik untuk menjadi beregu lelaki pertama negara yang memenangi tiga kejohanan berturut-turut selepas memenangi Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand sebelum ini.

Kali terakhir Malaysia memenangi gelaran Malaysia Masters dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah yang menewaskan rakan sepasukan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 22-20, 21-15 pada edisi 2013. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |