KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah semakin hampir untuk melangkah ke final kedua berturut-turut musim ini selepas mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, beregu No.4 dunia itu mencatat kemenangan 21-14, 21-14 ke atas Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dari Indonesia.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan mereka berjaya mengekalkan rentak konsisten selepas merangkul gelaran Terbuka Thailand di Bangkok minggu lalu.
Bagaimanapun, Pearly enggan terlalu bersandar kepada kemenangan sebelum ini kerana menganggap setiap kejohanan bermula dari kosong selain mahu memberikan fokus terhadap satu demi satu perlawanan.
“Saya sudah cakap selepas kita menang (Terbuka Thailand) sebelum ini bahawa setiap kejohanan akan bermula dari kosong. Bagi kami, kejuaraan itu sudah pun berlalu dan hanya mahu fokus setiap perlawanan.
“Perlawanan hari ini kami agak mengikut rentak permainan mereka di set kedua. Ada banyak bagi mata kepada mereka dan harap esok boleh lebih fokus,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah pernah melangkah ke perlawanan akhir Malaysia Masters pada edisi 2023, namun hasrat untuk menjadi juara tidak kesampaian apabila tewas 20-22, 21-8, 17-21 kepada beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
“Semua pemain yang datang ke sini tidak mahu kalah tetapi kami mahu lupakan semua itu. Buat masa sekarang kami mahu dapatkan rehat dan berbincang dengan jurulatih untuk perlawanan esok,” ujar Thinaah.
Menjelang separuh akhir esok, bekas juara Terbuka Perancis itu dijadualkan bertemu beregu China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang menewaskan Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-15, 15-21, 21-14. – KOSMO! ONLINE