Malaysia, Laos jalin kerjasama strategik perdagangan rel, laut

4 hours ago 3

PUTRAJAYA – Malaysia dan Laos terus mengukuhkan hubungan bilateral dengan menjalinkan kerjasama untuk meningkatkan perdagangan rentas sempadan melalui mod pengangkutan rel dan laut.

Kerjasama itu dibuat menerusi pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) antara Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan Thanaleng Dry Port (TDP) di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

MoC itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn. Bhd. (MMC Ports), Datuk Azman Shah Mohd. Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif PTL Holding Co. Ltd (PTLH), Chanthone Sitthixay dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.

Menurut Azman Shah, kerjasama ini akan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab logistik serantau dan ia selari dengan usaha meningkatkan keterhubungan ASEAN.

“Inisiatif ini bukan sahaja mempromosikan integrasi multimodal melalui gabungan pengangkutan rel dan laut, malah turut mengurangkan masa transit dan kos logistik.

“Ia juga meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta merangsang pertumbuhan ekonomi serantau.

“Kami berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha TDP untuk merealisasikan strategi nasional Laos dalam beralih dari negara yang terkurung daratan kepada negara yang terhubung daratan,” katanya.

Kerjasama itu juga akan melibatkan perkongsian pengetahuan operasi, usaha pemasaran bersama, integrasi sistem, pemudahan proses dokumentasi, penyelarasan infrastruktur dan pertukaran tenaga kerja jangka pendek.

Untuk rekod, ia sebahagian daripada inisiatif lebih besar di bawah Rangkaian Rel Pan-Asia yang mengintegrasikan Landasan Kereta Api China-Laos untuk mewujudkan laluan perdagangan strategik dari selatan China melalui Laos dan Thailand ke Pantai Barat Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |