Malaysia, Kyrgyz meterai 10 MoU, perkukuh hubungan dua hala

8 hours ago 3

PUTRAJAYA- Malaysia dan Kyrgyz terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pemeteraian 10 dokumen kerjasama merangkumi pelbagai bidang strategik sempena lawatan rasmi Presiden republik itu, Sadyr Zhaparov ke Malaysia.

Antara dokumen yang dimeterai ialah Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, kesihatan, transformasi digital dan keselamatan siber selain kerjasama dalam perdagangan dan pembangunan eksport.

Pemeteraian kesemua dokumen itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sadyr Zhaparov.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, menandatangani beberapa MoU utama itu dengan rakan sejawatnya dari Kyrgyz, Zheenbek Kulubaev termasuk Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Bakyt Sydykov dan Menteri Pembangunan Digital dan Teknologi Inovatif, Azamat Jamangulov serta Menteri Dasar Kebudayaan, Informasi dan Belia, Mirbek Mambetaliev.

Salah satu MoU penting ialah kerjasama antara Center for Export Development and Promotion (Kyrgyz Export) di bawah Kementerian Ekonomi dan Perdagangan Kyrgyz dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memacu hubungan perdagangan dua hala.

Kerjasama dalam bidang pendidikan turut diperkukuh melalui MoU antara Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Menteri Sains, Pendidikan Tinggi dan Inovasi Kyrgyz, Baktiyar Orozov.

Dalam bidang kesihatan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan rakan sejawatnya, Erkin Checheibaev menandatangani MoU untuk memperluaskan kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan antara kedua-dua negara.

Turut dimeterai ialah kerjasama antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia) dan National Institute for Strategic Initiatives (NISI) di bawah Presiden Kyrgyz, yang ditandatangani oleh Pengerusi ISIS Malaysia, Datuk Prof Dr. Mohd. Faiz Abdullah dan Menteri Kehakiman Kyrgyz, Aiaz Baetov.

Sementara itu, kerjasama sektor swasta turut diberi perhatian menerusi MoU antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kyrgyz yang ditandatangani oleh Presiden NCCIM, Datuk Seri N. Gobalakrishnan dan Presiden Dewan Perniagaan Kyrgyz, Temir Sariev.

Selain itu, turut dimeterai ialah surat niat (LoI) berkaitan bantuan undang-undang bersama dalam kes jenayah, serta pertukaran nota (EoN) dalam latihan diplomat dan pembangunan belia.

Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, perdagangan dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan ekonomi utama di rantau Asia Tengah.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |