Malaysia akan ke Myanmar bincang isu krisis secara terus dengan SAC

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Malaysia akan mengadakan lawatan ke Myanmar dalam usaha meneruskan rundingan bagi menyelesaikan krisis negara itu yang memberi kesan terhadap ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah ini diambil selepas mendengar senarai harapan daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung krisis Myanmar, termasuk isu kumpulan etnik di sana.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kami (Malaysia) bercadang untuk pergi ke Myanmar bagi membuat lawatan dan mengadakan perbincangan. Kami juga telah bertemu dengan pihak berkepentingan dan mendengar senarai harapan mereka.

“Harapan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Pentadbiran Negara (SAC). Nanti kita lihat maklum balas daripada SAC kerana rundingan ini bukan sekali dua, perlu dilakukan banyak supaya persefahaman terhadap antara satu sama lain dapat dibina. Mesti ada ‘jambatan’ yang boleh berikan hubungan dua hala atau pelbagai hala dengan puak-puak bertentangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perundingan Tidak Rasmi Mengenai Isu Myanmar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, ASEAN mempunyai tanggungjawab untuk memastikan supaya Myanmar sebagai keluarga besar anggota itu berada dalam keadaan baik.

“Bukanlah kita nak mencampuri hal ehwal negara dalam Myanmar, tetapi masalah di dalam Myanmar tersebut telah pun menjadi masalah kepada negara ASEAN.

“Terutamanya apabila ada pelarian daripada negara Myanmar, masalah jenayah rentas sempadan dan macam-macam lagi yang menyebabkan keadaan ketenangan di ASEAN ini terganggu dan tergugat disebabkan oleh masalah dalaman negara itu sendiri,” ujarnya.

Tambah beliau, Malaysia berharap dengan cara ini, rundingan secara inklusif dapat dilaksanakan selaras dengan Lima Konsensus ASEAN yang telah dipersetujui oleh semua negara anggota termasuk Myanmar.

Mohamad berkata, satu daripada lima konsensus itu adalah menghentikan segala permusuhan terhadap rakyat, kaum dan etnik masing-masing.

“Masalah sekarang ialah masalah kepercayaan antara satu sama lain kerana pergaduhan ataupun perbalahan antara etnik di Myanmar ini dah berpuluh tahun. Jadi adalah amat susah untuk kita kita meyakinkan antara satu pihak dengan satu pihak.

“Di Myanmar ini bukannya seperti di tempat lain, krisis antara puak A dengan puak B. Dia banyak pihak berkepentingan ramai, banyak dengan wilayah-wilayah berlainan, yang berbeza-beza bahasa dan macam-macam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |