Malakoff laksana projek WTE Sungai Udang, sasar urus 10,000 tan sisa sehari

3 hours ago 5

PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) memperkukuh usaha ke arah pengurusan sisa mampan apabila menandatangani Perjanjian Konsesi (PK) bagi Projek Waste-to-Energy (WTE) Sungai Udang, Melaka.

Majlis menandatangani PK itu berlangsung pada 19 Jun lalu antara anak syarikat Malakoff, Sungai Udang WTE Sdn. Bhd. (SUWTE), dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan turut dihadiri lebih 80 tetamu termasuk wakil agensi kerajaan utama.

SUWTE merupakan syarikat usaha sama antara Malakoff yang memegang 60 peratus kepentingan dan Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), anak syarikat milik penuh Alam Flora.

Kemudahan WTE itu akan memproses sehingga 1,056 tan sisa domestik sehari dan menjana kira-kira 22 megawatt tenaga boleh diperbaharui secara kasar menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, loji itu mampu mengurangkan 75,000 tan pelepasan karbon dioksida (CO₂) setahun serta mengelakkan pencemaran 23,000 meter padu air larut resapan.

“Ini bersamaan pemeliharaan lebih 3.4 juta pokok. Malakoff kini mengurus 3,649 tan sisa setiap hari dan dengan tambahan 1,056 tan menerusi projek ini, kapasiti kami meningkat kepada 6,206 tan sehari,” katanya.

Tambah beliau, projek tersebut selaras dengan Dasar Ekonomi Pusingan Negara dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Projek ini juga menyokong sasaran Malakoff untuk mengurus sehingga 10,000 tan sisa sehari menjelang 2031 secara inovatif dan mampan,” katanya.

Menurutnya lagi, WTE Sungai Udang menjadi bukti bagaimana kejuruteraan pintar mampu mengoptimumkan tanah seluas 3.9 hektar sambil memberi impak alam sekitar yang ketara. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |