PETALING JAYA – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mencatat pendapatan sebanyak RM2.02 bilion menurun sebanyak RM252.2 juta atau 11 peratus bagi suku tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (Q1 FY2025) berbanding RM2.28 bilion yang dicatat suku yang sama tahun 2024.
Penurunan ini disebabkan oleh bayaran tenaga yang lebih rendah daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) susulan penurunan Harga Arang Batu Berkenaan (ACP), serta bayaran tenaga yang lebih rendah daripada Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) selaras dengan faktor pelepasan yang lebih rendah.
Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATMI) Kumpulan direkodkan sebanyak RM34 juta bagi Q1 FY2025, berbanding RM62.0 juta dalam Q1 FY2024.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, momentum berterusan Kumpulan dalam memperkukuhkan penjanaan kuasa, memperluaskan portfolio tenaga boleh baharu (TBB) dan mempertingkatkan penyelesaian alam sekitar adalah sebahagian daripada peralihan strategik ke arah pertumbuhan mampan.
“Kami sedang memerhati penurunan harga arang batu global, yang sebahagian besarnya dipacu oleh permintaan yang lebih rendah dari pasaran utama seperti China dan India.
“Walaupun trend ini mungkin membawa kepada bayaran tenaga yang lebih sederhana daripada aset berasaskan arang batu kami, kami melihatnya sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga global yang lebih meluas.
“Oleh itu, kami akan terus memantau trend harga semasa dan kekal fokus untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan loji.
“Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mengekalkan daya tahan perniagaan sambil menyokong keperluan tenaga negara dalam landskap pasaran yang berkembang.
“Walau bagaimanapun, kami akan terus memberi tumpuan kepada prestasi operasi untuk memastikan bekalan tenaga yang mencukupi untuk negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Pada Q1 FY2025, peratusan tenaga yang dijual ke grid nasional di Semenanjung Malaysia melebihi 23 peratus daripada jumlah tenaga elektrik yang dijana.
Menurut beliau, ni dapat dicapai melalui peningkatan kecekapan, terutamanya disebabkan gangguan berjadual yang minimum dalam suku ini, serta komitmen padu kakitangan. -KOSMO! ONLINE