Mahkamah tolak permohonan semakan Rosmah singkir hakim kes solar

2 hours ago 1

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan semakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan hakim kes solar, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mensabit dan menghukumnya atas kesalahan rasuah.

Semakan itu adalah berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak rayuannya untuk menyingkirkan hakim itu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, selepas mendapati permohonan Rosmah, 74, tidak memenuhi peruntukan mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Terdahulu semasa membaca penghakiman, Azizah berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk membatalkan keputusan di bawah Aturan 137, namun kuasa itu mesti dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.

“Ia hanya akan digunakan dalam keadaan luar biasa yang berkemungkinan mengakibatkan ketidakadilan serius dan ketiadaan remedi yang berkesan. Mahkamah mesti mengawal ketat permohonan sedemikian dan tidak boleh menggunakan aturan ini secara sewenang-wenangnya atau sebagai hak rayuan umum. Ia tidak boleh digunakan untuk mengubah keputusan muktamad.

“Atas alasan-alasan yang telah dinyatakan, kami mendapati bahawa perkara ini tidak memenuhi ambang yang ditetapkan dalam Aturan 137, dan dengan ini permohonan semakan tersebut ditolak,” kata Hakim Aziziah.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Ravinthran N. Paramaguru.

Semasa prosiding Rosmah diwakili peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Amer Hamzah Arshad, manakala pendakwaan yang bertindak bagi respondan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah.

Pada 3 Mac lalu, Rosmah gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini yang mana keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga yang diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.

Hakim Nordin berkata, mahkamah berpendapat Hakim Mohamed Zaini, tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Sebelum itu, pada 17 September 2025, Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan hakim itu daripada terus mendengar kes rasuah projek solar dihadapi selepas mendapati permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Untuk rekod, pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini (yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi) telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan memerintahkan wanita itu dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Bagaimanapun sebelum keputusan tersebut diberikan, Rosmah telah memfailkan permohonan itu sama atas alasan beliau meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan kemudian tular di media sosial.

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.

Hakim Mohamed Zaini sebelum menolak permohonan tersebut menyatakan, segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.

Ujar hakim itu, beliau telah menulis lebih 200 penghakiman dan penghakiman bocor itu bukanlah alasan penghakiman yang ditulisnya sendiri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |