KUALA LANGAT – Tindakan seorang pemandu treler membawa muatan cerucuk binaan melebihi muatan memakan diri apabila dikenakan saman dalam Ops Paras di susur keluar Plaza Tol Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) hari ini.
Lelaki berusia 50an dalam perjalanan ke Ulu Yam daripada Banting didapati membawa lebihan enam tan daripada 45 tan yang dibenarkan bagi trelernya.
Menurut lelaki itu, dia telah bekerja lebih 15 tahun sebagai pemandu lori dengan sebelum ini membawa kontena.
“Tidak tahu pula lebih muatan sebab tak timbang sebelum bawa tadi. Saman ini nanti tokey bayarlah. Takkan bayar,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada operasi itu.
Dua saman dikeluarkan iaitu kepada pemandu itu dan pemilik syarikat yang masing-masing sebanyak RM300.
Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, kebanyakan alasan diterima membawa lebih muatan adalah bagi mengejar keuntungan yang lebih daripada majikan.
Katanya, kebiasaannya muatan mereka melebihi 30 sehingga 70 peratus daripada muatan dibenarkan pada kenderaan.
“Apabila bawa muatan lebih, akan dapat lebih keuntungan. Biasanya yang lakukan kesalahan lebih adalah jenis lori tipper selain membawa muatan tanah, pasir dan batu.
“Banting pula merupakan kawasan paling tinggi melakukan kesalahan ini ekoran banyak projek (pembinaan) di situ,” katanya.
Beliau turut menafikan pergerakan JPJ dipantau oleh tonto namun tiada ancaman sama ada bertulis atau verbal diterima setakat ini.
“Namun begitu, JPJ telah menukar modus operandi penguatkuasaan melalui penyamaran dengan pakaian secara preman dan menggunakan kenderaan tanpa logo JPJ,” tegasnya.
Mengulas lanjut, kata Azrin, sebanyak 724 kes membawa muatan melebihi had dibenarkan yang menyebabkan risiko terhadap integriti struktur jalan raya dan Keselamatan pengguna lain bermula 1 Mei lalu.
Selain itu, 645 kesalahan membawa muatan secara berbahaya dan 23 kenderaan barangan disita dibawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 1920 kerana membawa muatan melebihi 70 peratus.
“Ops Paras ini dilancarkan bagi membendung peningkatan kes yang berpunca daripada kenderaan berat dan kita memandang serius kesalahan lebih muatan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE