LRT3 sesak, netizen minta orang ramai raikan, bukan merungut

8 hours ago 3

PETALING JAYA – Keadaan tren Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) yang sesak pada hujung minggu ini mengundang perhatian ramai selepas seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman menaiki pengangkutan awam itu di Stesen Johan Setia sehingga menimbulkan rasa kurang selesa.

Pengguna tersebut memuat naik gambar memaparkan keadaan di dalam tren yang padat sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

“LRT3 Johan Setia, penuh sangat. Ramai ibu bapa bawa anak-anak tapi tak selesa. Terlampau padat dalam tren,” katanya.

Kebanyakan netizen berpandangan keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana orang ramai mengambil peluang menikmati perjalanan percuma sempena pembukaan LRT3 selain membawa anak-anak bersiar-siar pada hujung minggu.

Seorang pengguna @Fatihahzainordin berkata, situasi tren yang sesak masih boleh diterima selagi perkhidmatan tersebut beroperasi dengan lancar.

“Memang biasa hujung minggu orang keluar berjalan-jalan, tambahan pula tambang percuma. Yang penting tren sampai ikut jadual, tiada kelewatan, brek kecemasan atau masalah pendingin hawa,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Dreamteddy15 menganggap situasi sama pernah berlaku ketika pembukaan MRT sebelum ini dan meminta orang ramai meraikan kemudahan baharu yang disediakan kepada rakyat.

“Masa MRT dibuka dengan perjalanan percuma dahulu pun keadaannya lebih kurang sama. Raikan sahaja apa yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, @Introbird12 berkata, perkhidmatan tren sememangnya menjadi pilihan pada hujung minggu kerana ramai ibu bapa membawa anak-anak menggunakan perkhidmatan awam itu.

“Hujung minggu memang penuh dengan keluarga, tambahan pula tambang percuma. Orang tidak mahu melepaskan peluang untuk berjalan-jalan,” katanya.

Pengguna lain @Acappuad menyifatkan suasana itu memberikan pengalaman meriah apabila ramai keluarga menggunakan LRT3 untuk bersiar-siar di sekitar Shah Alam.

“Hujung minggu memang masa ibu bapa bawa anak-anak naik LRT. Hari bekerja nanti tren dipenuhi golongan (penumpang) yang berulang-alik ke tempat kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |