PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay mengakui pernah ‘naik hantu’ di set penggambaran drama terkininya berjudul Putri & Phrince semasa memberi tunjuk ajar kepada pendatang baharu dalam industri.
Bagaimanapun, Liyana, 37, tidak putus asa membimbing dan sering berkongsi ilmu kepada pelakon baharu yang menjadi pelapis dalam industri hiburan tempatan.
Saya pernah naik hantu di set sampai hampir naik darah tinggi. Kru pun turut bimbang.
“Tapi ini semua adalah sebahagian daripada proses.
“Kita kena latih dan sentiasa ingatkan mereka (pelakon baharu) macam seorang ibu yang mendidik anak-anaknya,” katanya kepada Kosmo! Online semasa penggambaran drama Putri And Phrince.
Bercakap mengenai drama tersebut, pelakon filem Papadom itu mengakui seronok dapat bekerja dengan bintang muda.
Ujar Liyana, dia tumpang gembira sekiranya bakat anak didiknya menjadi tumpuan kelak.
“Saya suka bekerjasama dengan orang baharu kerana saya dapat mengasah bakat mereka.
Kalau mereka berjaya, saya pun tumpang gembira kerana rasa seperti berjaya mendidik dengan baik,” ujarnya lagi.
Pada awalnya, Liyana mengakui agak ragu-ragu dengan bakat baharu yang rata-ratanya datang dari media sosial.
Namun, dia terkejut melihat mereka berhasil membawakan watak yang diberikan dengan baik.
“Saya awalnya cuak untuk berkerjasama kerana mereka sangat kelakar dalam TikTok.
Tapi saya tak sangka bila sampai set mereka sudah bersedia, mereka tahu cara bawa watak dengan baik.
“Mereka juga tunjuk minat untuk berlakon bukan hanya ingin menjadi pempengaruh saja,” jelasnya.
Putri And Phrince terbitan Mermaid Studio kini sedang menjalani penggambaran bakal disiarkan di Viu pada 21 Ogos kelak.
Drama mengandungi 12 episod itu dibintangi Nesa Idrus, Badron Munirah, Nik Rafaie, Farah Nadiah, Khayrisyah Kemal, Adriana Adnan dan Farihin Arnia. – KOSMO! ONLINE