LIMA simbol kebanggaan negara, semai semangat patriotisme

4 hours ago 1

LANGKAWI – Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) mempunyai makna dan matlamat yang jauh lebih besar dan komprehensif, bukan semata-mata pameran teknologi dan pertunjukan aset pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LIMA adalah arena untuk mewujudkan rasa bangga atau simbol kebanggaan kepada negara.

“Ia kerana kita berupaya menganjurkan secara konsisten satu acara pertahanan yang strategik dan bertaraf dunia. Kita berjaya menarik jumlah pengunjung yang sangat ramai selain menjadi platform business-to-business.

“Maka sewajarnya LIMA ini menjadi simbol kebanggaan negara yang wajar disokong untuk diadakan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini hari ini.

Jelasnya, program antarabangsa itu turut menjadi ruang dan peluang kepada seluruh rakyat menzahirkan rasa hormat, yakin dan sokongan kepada pasukan pertahanan negara yang sentiasa berkorban dan memberikan yang terbaik untuk negara.

“Perkara ini secara tidak langsung menjadikan LIMA medan menyemai patriotisme dan menarik minat anak muda untuk menyertai pasukan ATM, yang seharusnya diperkasakan dengan mereka yang berbakat, pintar dan berkemahiran tinggi.

“LIMA juga mengingatkan kita bahawa sektor pertahanan bukan sahaja tentang keberanian dan kekuatan fizikal tetapi juga kepentingan dan keunggulan teknologi.

“Dalam dunia hari ini yang dipacu kemajuan, LIMA adalah satu peringatan penting betapa keupayaan mempertahankan kedaulatan negara dan keunggulan teknologi akan menjadi dua perkara yang saling bergantung antara satu sama lain,” katanya.

Selain itu, katanya, LIMA menjadi instrumen diplomasi pertahanan yang mempamerkan keupayaan Malaysia dalam mencermati dan mengemudi pelbagai cabaran geopolitik yang berbeza. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |