DIADAPTASI daripada animasi popular dengan judul sama, Lilo & Stitch yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia 22 Mei lalu ternyata mempunyai pengikut atau kelompok peminat tersendiri.
Masakan tidak, rakan-rakan penulis yang sudah menginjak dewasa juga tidak sabar menonton naskhah arahan Dean Fleischer Camp yang merupakan versi live-action ini.
Berpeluang hadir ke tayangan perdana filem berkenaan di GSC Midvalley minggu lalu, telahan awal filem berkenaan tidak akan ‘menggosok’ emosi ternyata jauh meleset selepas menghabiskan tontonan kira-kira 1 jam 48 minit.
Perjalanan plot Lilo & Stitch memberikan banyak ‘rasa’ kepada penulis. Sebagai seorang anak yatim sedari usia 5 tahun, penulis dapat merasai emosi Lilo Pelekai lakonan pelakon cilik Maia Kealoha yang berdepan kejanggalan sosial orang sekeliling.
Pabila anda kehilangan orang tua seawal usia 6 tahun seperti Lilo, segala rutin harian berubah 360 darjah—menjadikan anda seorang manusia yang lebih tabah mendepani segala mendatang.
Anak yatim
Dari satu sudut yang lain, besar kemungkinan, anda mungkin tidak akan menjalani proses pembesaran sama seperti kanak-kanak lain. Hal ini kerana, kasih sayang ibu bapa adalah perkara yang berharga tidak semua orang berpeluang menikmatinya.
Itu berlaku kepada Lilo yang terpaksa tinggal bersama kakak kandungnya, Nani Pelekai (Sydney Elizebeth Agudong). Si kakak pula terpaksa melupakan impiannya menyambung pelajaran demi membesarkan adik tersayang.
Di situlah makhluk asing persis koala bernama Experiment 626 atau Stitch mengisi segala kekosongan jiwa Lilo. Daripada seekor makhluk yang gemar melakukan kerakusan, menjadi teman baik buat seorang kanak-kanak kesunyian.
Dari segi terjemahan karakter, dua pemain utama iaitu Lilo dan Stitch menjalankan tugasan dengan cukup sempurna. Pelakon cilik Maia Kealoha berjaya menghidungkan karakter animasi Lilo kepada versi live-action dengan jayanya.
Begitu juga karakter Stitch yang dialih suara pelakon Chris Sanders. Tidak ketinggalan watak kakak kepada Lilo iaitu Nani yang diterjemahkan pendatang baharu, Sydney Elizebeth. Dia sememangnya asal dari Hawai’i dan itu menjadi faktor filem ini bersemi dengan cukup indah.
Sinergi Lilo, Stitch
Sinergi lakonan antara Lilo dan Stitch sangat luar biasa. Walaupun sekadar lakonan, babak ketika Stitch cuba menyelamatkan Lilo daripada lemas di laut sangat membelah luka audiens.
Kadang-kadang kita terpaksa berkorban demi entiti yang paling sayangi walaupun sedar bahawa pengorbanan dilakukan mampu mengorbankan diri sendiri. Itu dilakukan Stitch buat Lilio dalam satu adegan lantas membuatkan mata penulis berkaca.
Pemilihan Maia sebagai Lilo sangat bertepatan dengan realiti Lilo & Stitch yang diangkat daripada kisah kartun atau animasi. Lontaran dialog, bahasa tubuh dan tahap kecomelan, penulis tidak melihat pelakon cilik lain yang mampu menterjemah karakter Lilo secermat Maia.
Secara keseluruhannya, Lilo & Stitch bukan sebuah filem adaptasi animasi ke live-action untuk kanak-kanak sahaja. Orang dewasa yang menonton juga mampu mengalirkan air mata dan mendapat pengajaran serupa.
Lilo & Stitch merupakan satu tontonan yang sangat sesuai buat semua golongan terutama kanak-kanak apalagi pada musim cuti persekolahan bersempena Aidiladha yang akan menjelang.