LONDON – Selepas berjaya mengemudi Chelsea mara ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan, pengurus pasukan itu, Enzo Maresca sedia untuk sekali lagi mencipta kenangan manis bersama The Blues.
Kali ini, Chelsea berpeluang menjadi pasukan pertama memenangi kesemua pertandingan Eropah apabila membuat perhitungan menentang Real Betis pada perlawanan akhir Liga Konferens Europa di Stadion Miejski, Poland awal pagi esok.
Setakat ini, Chelsea sudah pun memenangi Liga Juara-Juara (UCL) sebanyak dua kali, Liga Europa (dua kali) dan Piala Super UEFA (dua kali), sekali gus menjadi kelab London paling berjaya di pentas Eropah.
Maresca berkata, The Blues boleh dianggap mengharungi musim cukup baik pada kempen 2024/25 sekiranya mereka berjaya membawa pulang trofi tersebut dan menjadi petanda awal kebangkitan pasukan itu.
“Saya fikir kami sudah mengharungi musim yang cukup baik tetapi ia boleh menjadi kempen menakjubkan sekiranya dapat memenangi Liga Konferens kerana kami sudah pun menamatkan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keempat.
“Jika kami berjaya melaksanakan misi ini, Chelsea akan menjadi pasukan pertama yang memenangi kesemua trofi pertandingan Eropah. Bagi saya, itu adalah perkara menakjubkan dan paling penting,” katanya.
Pengendali dari Itali itu juga percaya pengalamannya di perlawanan akhir Liga Juara-Juara ketika bergelar penolong jurulatih Manchester City mampu membantunya untuk berdepan tekanan aksi final nanti.
Tambah Maresca, beliau juga tidak sabar untuk bertemu jurulatih Betis, Manuel Pellegrini yang sudah dianggap sebagai bapa kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada beliau dalam bidang kejurulatihan.
“Saya melihat beliau sebagai bapa dalam bola sepak profesional. Saya berada di kedudukan sekarang adalah disebabkan beliau kerana empat tahun bersamanya – masing-masing dua tahun sebagai pemain dan staf,” ujarnya.
Menjelang aksi final awal pagi esok, Chelsea boleh dianggap sebagai pasukan pilihan apabila menang empat daripada lima perlawanan terakhir berbanding Betis yang gagal mencatat sebarang kemenangan. – AGENSI