Liga Konferens Europa: Betis tidak ada rancangan istimewa di final

1 day ago 8

SEVILLE – Real Betis tidak akan mengubah corak permainan sedia ada menjelang perlawanan akhir Liga Konferens Europa menentang Chelsea yang dijadualkan berlangsung di Stadion Miejski, Poland awal pagi esok.

Sebaliknya, jurulatih pasukan itu, Manuel Pellegrini menggesa barisan pemainnya untuk bermain seperti biasa selain memberikan segala-galanya bagi memastikan mereka pulang sebagai juara.

Beliau berkata, Betis akan turun dengan identiti tersendiri dan mereka enggan mengambil pendekatan merombak sistem permainan bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan ditampilkan pasukan lawan.

“Pertama sekali, kami perlu masuk ke padang dengan keyakinan tinggi dan menampilkan corak permainan menarik. Sebagai jurulatih, saya mahu Betis menjadi pasukan yang lebih menyerlah berbanding lawan.

“Apa yang paling penting, kami perlu cuba untuk menjaringkan gol awal dan kemudiannya mengawal permainan. Saya tahu kemenangan cukup penting tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana mahu melakukannya,” katanya.

Meskipun menaruh sepenuh kepercayaan terhadap barisan pemainnya, namun Betis wajar berasa bimbang memandangkan mereka gagal untuk mencatat sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Bekas pengendali Real Madrid dan Manchester City itu turut mengharapkan sentuhan dua ayam tambatan, Isco dan Antony untuk mengucar-kacirkan benteng pertahanan The Blues yang akan diketuai Levi Colwill.

“Isco adalah pemain contoh kepada pemain-pemain muda dalam pasukan ini atas pencapaiannya meraih banyak kejuaraan. Dia merupakan seorang pemain yang cukup tenang, tidak kira sama ada ketika menyerang ataupun bertahan.

“Antony pula sudah memberikan sumbangan cukup besar kepada pasukan, terutamanya menerusi umpanan-umpanan yang dilakukan. Dia bukan sahaja membuatkan perlawanan bertambah menarik, malah turut menambah keyakinan rakan sepasukan,” ujar Pellegrini.

Sementara itu, beliau turut menyanjung pengurus Chelsea, Enzo Maresca yang pernah berada di bawah ‘payungnya’ selain percaya pengendali dari Itali itu akan menerapkan corak permainan menyerang seawal minit pertama. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |