‘Letak modal RM14.3 juta, tapi untung satu habuk tak dapat’ 

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjalankan siasatan terhadap tiga syarikat yang didakwa menawarkan skim pelaburan berbentuk vending machine dan mesin kopi layan diri sehingga menyebabkan lebih 228 mangsa mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM14.3 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, aduan rasmi telah dikemukakan kepada SSM memandangkan ketiga-tiga syarikat terbabit disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.

“Hari ini kita hadir ke pekarangan pejabat SSM di KL Sentral bersama para pelabur yang menjadi mangsa. Ada yang datang dari sejauh Sarawak dan Melaka untuk menyerahkan aduan rasmi terhadap tiga syarikat yang menawarkan pelaburan mesin layan diri dan mesin kopi.

“Syarikat pertama membabitkan 54 pelabur dengan jumlah kerugian RM5.2 juta, syarikat kedua melibatkan 19 pelabur rugi RM1.8 juta, manakala syarikat ketiga pula didakwa menyebabkan kerugian kepada 155 pelabur dengan nilai keseluruhan RM7.3 juta,” katanya pada sidang media di Menara SSM di sini hari ini.

Tambah beliau, ketiga-tiga syarikat berkenaan mempunyai corak operasi yang sama iaitu menawarkan pelaburan mesin layan diri dan kopi, di mana pelabur hanya perlu meletakkan modal tanpa perlu mengendalikan operasi.

“Modus operandi mereka adalah dengan menawarkan perjanjian pelaburan, ada pelabur dikehendaki membayar RM30,000 bagi satu mesin atau RM25,000 untuk kategori lain.

“Malah, ada pelabur yang membeli dalam bentuk ‘lot’ serendah RM1,000 dan dijanjikan pulangan sehingga lima peratus,” katanya.

Hishamuddin berkata, pihaknya mempersoalkan sama ada mesin-mesin yang dijanjikan itu benar-benar wujud atau hanya digunakan sebagai helah untuk menipu pelabur.

“Antara perkara yang perlu disiasat ialah kewujudan mesin melalui dokumen seperti ‘packing list’, dokumen import K1, K2 dan pelepasan kastam. Kita ingin tahu sama ada jumlah pelaburan selari dengan bilangan mesin sebenar yang dibeli,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan laporan polis telah dibuat sebelum ini dan kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu). Namun begitu, pihak pendakwaan telah memutuskan kes berstatus NFA (No Further Action).

“Pelabur-pelabur kecewa dengan keputusan itu kerana tindakan sivil bukanlah penyelesaian berkesan. Kebanyakan syarikat pelaburan ini tiada aset sah, jadi walaupun menang kes sivil, tiada sebarang pulangan boleh dijamin,” katanya.

Susulan itu, MHO akan menghantar surat representasi kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi memohon semakan semula keputusan tersebut dan mendesak siasatan jenayah disambung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |