KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja merayu kepada ibunya untuk pulang ke Malaysia kerana sudah tidak tahan berada di sana.
Ibu, saya nak balik, saya dah tidak tahan di sini,” kata lelaki yang menjadi mangsa ketika menghubungi ibunya pada 20 Mei lalu dan turut meminta wang RM14,000 dipercayai sebagai wang pampasan sebelum dibenarkan balik ke negara ini.
Ibunya, Anida Ponirin, 49, berkata, kali terakhir dia bercakap bersama anaknya yang berusia 25 tahun itu pada 20 Mei lalu dan memaklumkan dia berada di Kemboja untuk bekerja.
“Saya tahu dia tengah susah walaupun dia tidak menceritakan keadaan sebenar di sana, dia hubungi memaklumkan ingin pulang tetapi perlukan wang sebanyak RM14,000.
“Tapi saya tidak di mana dia berada, lokasi tepatnya saya tidak tahu, saya amat risau dengan keselamatannya,” jelas wanita terbabit pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita yang mahu dikenali Lili, 40, merayu dan mahu anak saudaranya diselamatkan selepas tiga tahun berada di Myanmar.
Lili, berkata, anak saudaranya yang berusia 33 tahun dilaporkan hilang sejak tiga tahun lalu ketika bercuti di Thailand.
“Ketika bercuti di situ, dia ditipu oleh seorang individu sebelum dibawa ke satu tempat yang dikawal askar di Myanmar. Kali terakhir dia menghubungi keluarga juga pada 20 Mei lalu, ketika itu dia memaklumkan sudah dijual kepada dua atau tiga sindiket lain,”katanya.
Jelasnya, dia sekeluarga kini risau dengan keselamatan anak saudaranya dan merayu pelbagai pihak membawa anak saudaranya pulang semula ke negara ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mahu negara-negara Asean mencari solusi bagi menangani kegiatan pemerdagangan manusia.
“Isu pemerdagangan manusia ini masih lagi berlaku, Asean perlu cari kesepakatan dan penyelesaiannya, saki-baki sindiket dan mangsa masih ada, kita minta Asean beri tekanan kepada negara yang terbabit khususnya Myanmar dan Kemboja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.