Lelaki maut ditikam rakan serumah

6 hours ago 4

SUNGAI BULOH – Seorang lelaki maut ditikam rakan serumah dalam kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 memaklumkan berlaku pergaduhan melibatkan dua lelaki di sebuah rumah di Jalan Gajah 6 pada pukul 11.26 malam.

“Sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa berusia 33 tahun ditemukan terbaring di ruang tamu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada kiri.

“Seorang lagi lelaki yang juga penghuni rumah tersebut berada di lokasi kejadian sebelum ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Hafiz, pasukan ambulans dari Hospital Sungai Buloh yang tiba di lokasi pada pukul 12.01 tengah malam mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek baru sahaja tiba dari Kelantan tiga hari lalu dan tinggal bersama suspek berusia 40 tahun.

“Pemeriksaan lanjut oleh Bahagian Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berjaya merampas pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam dan direman selama enam hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian serta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Sungai Pelong di talian 03-6038 3322 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurnazihah Norzilan di talian 011-1149 9008,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |