Lelaki gigit pipi, tumbuk dada polis buat isyarat ‘peace’

9 hours ago 3

GEORGE TOWN – Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang anggota polis di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Ahad lalu.

Tertuduh, S.R. Aingaran,19, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Suhaila Bahrain.

Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuan bersalah tertuduh selepas tertuduh gagal mengecam gambar-gambar kejadian yang dijadikan fakta kes tersebut.

Terdahulu, tertuduh sempat menunjukkan isyarat ‘peace’ sebaik wajahnya dirakam jurugambar ketika dibawa ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis di Pos Pegawal IPK Pulau Pinang, pada 22 Jun lalu, kira-kira pukul 9.40 malam.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK),S.Bommy.

Mengikut fakta kes, semasa anggota polis tersebut berada di pos pengawal dia telah menahan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Anggota polis tersebut kemudian membuat pemeriksaan terhadap suspek yang berada dalam keadaan mabuk dan dia kemudian membawa kedua-dua suspek masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut.

Kemudian, suspek bertindak menumbuk pipi dan menggigit dada anggota polis tersebut sehingga menyebabkan mangsa mengalami cedera bengkak di pipi dan lebam di dada.

Selepas mahkamah menolak pengakuan tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 kepada tertuduh.

Peguam YBGK, Bommy yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan memandangkan anak guamnya masih muda dan berpendapatan RM1,800 sebulan sahaja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan keluarga mangsa. Mahkamah kemudian menetapkan 21 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |