PETALING JAYA – Cuti panjang hujung minggu sempena Hari Keputeraan Agong dan cuti sekolah selama seminggu menyebabkan aliran trafik di lebuh raya utama keluar ibu kota sesak sejak pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), setakat pukul 5 petang tadi, aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KL) arah Pantai Timur mula perlahan ekoran pertambahan kenderaan terutama di Plaza tol Gombak, Bentong dan Genting Sempah.
Dalam pada itu, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) pula menunjukkan kesesakan luar biasa dengan jumlah kenderaan semakin meningkat di Plaza Tol Temerloh.
Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju utara pula kelihatan lancar meskipun bilangan kereta bertambah di Rawang, Tapah, Gua Tempurung dan Terowong Menora. – KOSMO! ONLINE