Lebih 200 kerusi ‘haram’ disita di Teluk Senangin

1 day ago 10

LUMUT – Sebanyak 220 buah kerusi ‘haram’ disita Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam satu operasi yang dilaksanakan di Teluk Senangin dekat sini hari ini.

Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, operasi yang dilaksanakan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu juga menyaksikan 19 meja kayu, sebuah meja besi, sebuah payung, 25 pelampung dan tiga khemah turut disita.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan aduan awam berkaitan aktiviti penyewaan kerusi pelampung yang dijalankan tanpa kebenaran.

“Aktiviti penyewaan kerusi pelampung adalah dibenarkan di kawasan ini, namun tertakluk kepada pematuhan Syarat Pelesenan MPM yang sedang berkuat kuasa.

“Peniaga yang telah diberi kelulusan hendaklah mematuhi segala syarat lesen dan permit yang telah ditetapkan, termasuk menyimpan peralatan seperti kerusi pelampung sebaik sahaja tempoh sewaan tamat,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Faizal Shah berkata, MPM tidak pernah melantik, memberi kuasa atau mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana individu, persatuan atau organisasi untuk mengutip bayaran daripada pengunjung pantai.

Bahkan, beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mendakwa mereka dibenarkan berbuat demikian, ia adalah satu tindakan tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 10 permit telah dikeluarkan oleh MPM kepada pengusaha yang mematuhi syarat, namun hanya tiga pengusaha yang aktif, manakala tujuh lagi tidak aktif.

Beliau berkata, antara syarat perlu dipatuhi termasuklah tidak meletakkan peralatan sebelum sewaan dibuat dan tidak dibenarkan mengutip bayaran bagi sewaan lain-lain peralatan atau penggunaan tapak tidak berkaitan dengan aktiviti sewaan kerusi pelampung.

“Dalam operasi sitaan yang dijalankan, tindakan telah diambil terhadap pengusaha kerusi, meja, khemah dan pelampung yang beroperasi tanpa lesen atau kebenaran sah daripada Yang Dipertua MPM.

“Sebanyak enam sitaan telah dibuat melibatkan pelbagai peralatan termasuk khemah yang dipasang di sepanjang kawasan Pantai Teluk Senangin,” katanya.

Muhammad Faizal Shah berkata, tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan larangan terhadap sebarang bentuk halangan di tempat awam.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |