Lebih 1.3 juta jemaah berkumpul di Mekah, ibadah haji bermula Rabu ini

1 day ago 14

MEKAH – Lebih sejuta jemaah membanjiri kota suci Mekah menjelang permulaan haji, dengan pihak berkuasa berikrar menjadikan ibadah haji tahun ini lebih selamat walaupun  berdepan cuaca panas ekstrem dan tindakan keras terhadap jemaah tanpa permit.

Suhu siang hari melebihi 40 darjah Celsius sepanjang minggu ini apabila ibadah haji bermula secara rasmi lusa.

Ibadah haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan diwajibkan kepada orang yang berkemampuan sekali dalam hidup mereka.

Setakat Jumaat lepas, lebih 1.3 juta orang tiba di Arab Saudi untuk mengerjakan haji yang berlangsung selama beberapa hari.

Tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi menggerakkan lebih 40 agensi kerajaan dan 250,000 kakitangan di samping menggandakan usaha untuk mengurangkan risiko berkaitan haba selepas beratus-ratus orang meninggal dunia akibat gelombang haba pada tahun lalu.

Kawasan teduhan diperluaskan sebanyak 50,000 meter persegi dengan beribu-ribu petugas tambahan bersiap sedia semasa musim haji tahun ini.

“Lebih 400 unit penyejukan akan digunakan sepanjang tempoh haji,” kata Menteri Haji Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah kepada AFP minggu lepas.

Menurutnya, perisian kepintaran buatan(AI)  terkini akan membantu memantau limpahan maklumat dan rakaman, termasuk video daripada armada dron baharu di seluruh kota suci Mekah, bertujuan untuk menguruskan jemaah  haji yang begitu ramai dengan lebih baik.

“Ini benar-benar rahmat daripada Allah.

“Kami sangat aman dan selamat di tempat ini,” kata Abdul Majid Ati yang merupakan  seorang peguam Filipina kepada AFP berhampiran Masjidil Haram.

Abdulhamid dari Nigeria pula berkata, dia sangat gembira  kerana dapat  menunaikan  haji untuk kali kedua berturut-turut pada usia cuma 27 tahun.

Pada tahun lepas,  seramai  1,301 jemaah haji dengan kebanyakan mereka tidak berdaftar dan tidak mempunyai akses kepada khemah serta bas berhawa dingin, meninggal dunia ketika suhu di Mekah melonjak kepada 51.8 darjah Celsius.

“Jemaah terkejut kerana haba sangat tinggi sehingga langkah penyesuaian mereka gagal,” kata Fahad Saeed dari Climate Analytics iaitu kumpulan pemikir yang berpangkalan di Jerman.

Menjelang musim haji tahun ini, pihak berkuasa Saudi melancarkan tindakan keras yang meluas terhadap jemaah haji  tidak berdaftar termasuk serbuan lebih kerap, pengawasan dron dan rentetan amaran teks.

Selain denda berat, mereka yang didapati memasuki Mekah secara haram semasa musim haji tahun ini turut berdepan larangan selama 10 tahun oleh kerajaan Arab Saudi. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |