Layan jemaah haji macam bapa sendiri

9 hours ago 4

MINA – Tindak-tanduk seorang pemuda berada di antara dua lelaki warga emas sambil memimpin tangan ketika melakukan ibadah melontar di Jamrah Kubra, di sini semalam menarik perhatian orang ramai.

Pada mulanya ramai menyangka dua lelaki lanjut usia tersebut yang dipimpinnya adalah bapa serta bapa saudaranya, namun sangkaan itu meleset selepas mendapati mereka bertiga hanyalah rakan semaktab.

Jarak antara khemah penginapan jemaah haji di Mina dan Jamrah Kubra terletak kira-kira empat kilometer dan mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai dengan berjalan kaki

Mohd. Hafeiz Mohd. Latiff, 42, berkata, dia sebenarnya berasa lebih beruntung untuk membantu Yaakop Bador, 79, dan Husin Dalib, 73, lebih-lebih lagi ketika berada di Tanah Suci.

“Mereka berdua ini adalah merupakan rakan semaktab saya. Saya berasa terpanggil untuk membantu mereka menunaikan ibadah haji dengan sempurna berikut faktor usia mereka.

“Apa yang kita boleh bantu kita bantu, ayah saya tidak dapat pergi tahun ini, insya-Allah mohon doakan ayah saya semoga dia dapat pergi pada tahun akan datang untuk menunaikan haji.

“Mungkin saya tidak dapat pergi dengan ayah tetapi saya anggap jasa tidak seberapa ini adalah untuk ayah sendiri,” katanya dalam nada sebak.

Tarikh 10 Zulhijjah semalam adalah merupakan hari untuk para jemaah menunaikan wajib haji dengan melontar di Jamrah Kubra, di sini.

Selepas menyempurnakan ibadat melontar di Jamrah Kubra, jemaah haji memperoleh tahallul awal iaitu bebas 10 daripada kesemua 13 larangan ihram.

Sementara itu, Yaakop tidak dapat menahan sebak selepas dia yang pertama kali menunaikan haji mampu melakukan lontaran di Jamrah Kubra walaupun dalam keadaan bertongkat.

“Ini kali pertama saya tunaikan haji, saya sangat gembira dan kalau boleh orang lain datanglah menunaikan haji. Saya hanya pekerja kilang dan telah menunggu peluang ini selama 25 tahun. Saya sangat berharap agar mendapat haji mabrur,” katanya.

Menurut Husin Dalib, 73, dia bersyukur selepas dipanggil untuk menjadi tetamu Allah dan sudah menjadi impiannya untuk ke Tanah Suci ini bagi menunaikan haji.

“Saya berasa teramat bersyukur lebih-lebih lagi disantuni oleh Mohd. Hafeiz ketika melakukan ibadah ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |