KUALA LUMPUR – Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) sekali lagi menjadi medan pertempuran buat pemain golf wanita merebut kejuaraan apabila menganjurkan Kejohanan Golf Amatur Wanita (LAO) Kali Ke-48 selama tiga hari bermula 5 Ogos depan.
Kejohanan itu terbuka kepada pemain berusia 12 tahun ke atas dengan hadicap 13.4 ke bawah.
Pengerusi kejohanan, Ai-Leen Tan berkata, selain pemain tempatan, beberapa bintang luar dari Guam, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Singapura, Jepun dan India menyatakan persetujuan untuk bertanding dalam kejohanan itu.
Katanya, kejohanan itu telah melahirkan pemain berbakat seperti Mirabel Ting (juara 2023) dan Winnie Ng yang muncul juara sebanyak dua kali sepanjang penganjurannya.
“Saban tahun kejohanan itu menampilkan pemain lebih berkualiti. Ramai pemain yang bergelar profesional dan kami berbangga kerana dapat menyediakan platform bagi mereka untuk melangkah ke tahap lebih tinggi.
“Setakat ini, saya tidak dapat berkongsi mengenai pemain ternama dari dalam negara yang akan menyertai, tetapi akan ada yang hadir dari Persatuan Golf Malaysia (MGA),” katanya.
Dalam pada itu, Ai-Leen berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih elit bagi edisi kali ini apabila penganjur menetapkan peserta tidak boleh mempunyai handicap lebih daripada 13.4.
“Apabila kita merendahkan angka itu, kami menjangkakan pemain berkualiti untuk menyertai. Jadi, jika anda peserta dalam sesebuah kejohanan, anda pasti mahu bersaing dengan yang terbaik. Jadi, dengan menjadikan syarat penyertaan lebih ketat, kita mampu menyaksikan peserta lebih baik,” katanya.
Sebanyak empat kategori bakal dipertandingkan, termasuk Piala Tuanku Bahiyah bagi juara gross dan Piala Datin Azian buat pasukan gross.
Mereka yang berminat diminta melayari laman web rasmi http://lao.thersgc.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan termasuk yuran. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 26 Julai depan. -KOSMO! ONLINE.