KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki No. 1 dunia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei untuk melangkah ke pentas separuh akhir Terbuka Singapura tidak kesampaian selepas tewas kepada gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di peringkat suku akhir sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu, gandingan profesional negara tumpas kepada beregu No. 27 dunia dari India tersebut menerusi keputusan straight set 17-21, 15-21 dalam masa 39 minit.
Kemenangan tersebut amat bermakna buat Rankireddy-Shetty kerana sebelum ini mereka pernah tewas kepada Izzuddin-Sze Fei di pentas separuh akhir Terbuka India 2025, Januari lalu.
Kekalahan tersebut merupakan yang ketujuh buat Izzuddin-Sze Fei dalam sembilan pertemuan menentang Rankireddy-Shetty setakat ini, sekali gus menyaksikan pasangan India itu terus mengukuhkan penguasaan ke atas beregu negara.
Walaupun bermula dengan baik pada set pertama, Izzuddin-Sze Fei gagal mengekalkan rentak apabila diasak oleh pasangan lawan yang lebih tersusun dari segi taktikal dan pertahanan. Beberapa kesilapan mudah turut memberi kelebihan kepada pihak lawan untuk mengutip mata demi mata.
Izzuddin-Sze Fei dijangka akan kembali bangkit apabila mereka bakal beraksi di Terbuka Indonesia yang akan berlangsung di Jakarta dari 3 hingga 8 Jun depan.
Berdasarkan undian, pasangan negara itu akan membuka tirai kempen kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut dengan menentang gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen di pusingan pertama.
Atas kertas, Izzuddin-Sze Fei dilihat tiada masalah untuk menempah tiket ke pusingan kedua kerana sewaktu aksi Terbuka Singapura, gandingan negara berjaya menundukkan pasangan sama dengan kemenangan straight set 21-11, 21-17.
Sementara itu, nasib sama menimpa pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao apabila turut terkandas di peringkat suku akhir, hari ini.
Jun Hao terpaksa akur apabila tewas kepada pemain No. 2 dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam aksi straight set 13-21, 11-21 dalam tempoh 47 minit di gelanggang sama.-KOSMO! ONLINE