IPOH – Kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di negeri ini meningkat sehingga 858 peratus dalam tempoh 20 tahun terakhir.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ia apabila MAIPk berjaya memungut RM253,020,010 pada tahun lalu berbanding RM26.3 juta pada 2004 yang mana kutipan zakat itu merangkumi harta dan fitrah.
“MAIPk ditubuhkan pada 1 Muharam 1369 Hijrah bersamaan 23 Oktober 1949 Masihi. Penubuhan MAIPk selaras dengan kuasa yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak (1948).
“Pada tahun ketiga penubuhan MAIPk, pada 1 Mei 1952, kerajaan negeri Perak telah meluluskan Undang-undang Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.
“Selain berperanan sebagai badan penasihat Sultan mengenai hal-hal berkaitan Agama Islam dan adat Melayu, MAIPk juga bertanggungjawab sebagai Baitulmal untuk mengurus perkara berkaitan harta orang Islam terutama urusan zakat dan wakaf di negeri Perak,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan (Zapar) di Pusat Zakat Al Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, selama satu dekad pertama penubuhan MAIPk, hasil zakat yang dikumpulkan tidak pun mencapai RM400,000.
Titah baginda, ia sekali gus memberi makna sama ada kesedaran untuk membayar zakat masih kurang dihayati, bilangan umat Islam yang layak membayar zakat masih kecil, amaun zakat dibayar masih rendah atau minda pembayar zakat masih belum berubah daripada amalan tradisi membayar zakat kepada guru-guru agama.
“Kutipan zakat ketika itu pula lebih tertumpu pada zakat fitrah dan zakat tanaman dalam kawasan pesawah padi di Mukim Sungai Manik, Seberang Perak dan Kerian,” titah baginda.
Selepas 55 tahun penubuhannya, Sultan Nazrin bertitah, pada 2004, MAIPk merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori, merangkumi harta dan fitrah, berjumlah RM26.3 juta.
“Alhamdulillah, pada tahun 2024, MAIPk merekodkan kutipan zakat berjumlah RM253,020,010, meningkat 858 peratus dalam tempoh 20 tahun terakhir,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE