Kumpulan samun menyamar anggota polis kena cekup

1 day ago 9

SEPANG- Empat anggota kumpulan samun yang menyamar sebagai anggota polis dalam lima siri kes samun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur akhirnya berjaya diberkas pada Sabtu lalu.

Kesemua mereka berusia antara 33 hingga 38 tahun ditahan menerusi operasi khas bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati, suspek terbabit dalam beberapa kes samun di Dengkil, Bukit Puchong dan Bukit Raja, Klang serta Kajang.

Beliau berkata, kumpulan sama juga terlibat dalam kes samun di Semenyih yang mana videonya tular di media sosial pada awal bulan ini.

“Dalam kejadian pada 4 Mei lalu itu, lima lelaki telah menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang pesara berumur 55 tahun, bersama tiga ahli keluarga di sebuah rumah di Semenyih.

“Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), suspek memakai pelitup dan memakai vest polis memecah masuk rumah mangsa dan melarikan beberapa barang kemas, dua buah telefon bimbit dan wang tunai lebih kurang RM500,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, kesemua suspek telah direman sehingga esok bagi membantu siasatan, manakala salah seorang suspek telah diberi jaminan polis pada Ahad lalu.

Hussein berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (merompak secara berkumpulan) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana saspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan modus operandi suspek yang menyamar dan memperdaya mangsa dengan memakai vest polis bagi membuat sebarang pemeriksaan di mana-mana tempat.

Jelasnya lagi, jika terdapat maklumat sebegini, sila salurkan atau laporkan perkara ini kepada mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |