LATAR belakang sebagai pelajar kejuruteraan elektrik mendedahkan wanita hebat ini kepada kuasa teknologi sejak awal lagi.
Baginya, dia melihat teknologi bukan sekadar kod, litar atau perkakasan semata-mata, tetapi satu ‘pemboleh cara’ (enabler) yang sangat berkuasa untuk menyelesaikan masalah harian manusia.
Tidak dinafikan, dunia teknologi keusahawanan memang sering didominasi kaum lelaki, tetapi bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kiddocare, Nadira Mohd. Yusoff, 49, cabaran itu merupakan satu motivasi buatnya untuk terus mencuba dan melangkah.
Kiddocare merupakan platform digital pertama yang merintis ekonomi penjagaan (care economy) di negara ini menerusi tempahan pengasuh anak secara online
Dua dekad bergelumang dalam dunia keusahawanan dan teknologi, mantan Presiden Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Wena) ini mampu tersenyum apabila bukan sekadar berjaya melatih usahawan digital wanita, tetapi keupayaan membawa suara dan isu usahawan ke peringkat penggubalan dasar ekonomi negara dan serantau.
Bukan hanya menggalas tanggungjawab bersama Wena, Nadira turut pernah memegang pelbagai portfolio sebagai Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) serta pengasas komuniti Girls in Tech Malaysia.
Atas semangat berterusan dan jasanya dalam memperkasa keusahawanan digital negara, Nadira pernah menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara.
Antaranya, Minister’s Award for Women Entrepreneurs (2011); Recipient Prime; Malaysian Outstanding Woman Entrepreneur, Asean Women Entrepreneur Forum (2015); Speaker, UN Women #WeEmpowerAsia Panel, ASEAN Women CEOs Summit (2019); The BrandLaureate Entrepreneur Brand Leadership Award (2024) dan Final Top Nominee, EY Entrepreneur Of The Year Malaysia (2024).
“Saya merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur yang sentiasa percaya bahawa gabungan antara teknologi dan impak sosial mampu mengubah landskap kehidupan masyarakat.
“Sebelum memfokuskan diri sepenuhnya kepada dunia keusahawanan sosial dan digital, saya telah memulakan karier dalam bidang kejuruteraan,” kata ibu tunggal kepada enam cahaya mata ini kepada K-Wanita.
NAMUN, minat mendalam terhadap dunia perniagaan mendorong dirinya beralih arah dan menjadi seorang usahawan bersiri (serial entrepreneur).
Jelas graduan jurusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, sepanjang 23 tahun ini, dia telah mengasaskan dan membangunkan pelbagai perniagaan merangkumi sektor pembuatan perkakasan (hardware), pembangunan perisian (software), pendidikan didikhibur (edutainment), tenaga boleh baharu sehinggalah kepada inovasi berimpak sosial.
“Kini, peranan utama saya adalah sebagai pengasas dan CEO di Kiddocare, platform teknologi digital pertama di Malaysia yang merintis ekonomi penjagaan (care economy).
“Jika ditanya titik permulaan saya kepada keusahawanan ini tercetus apabila menyedari bahawa usahawan wanita sering kali melihat masalah daripada perspektif empati yang sangat unik.
“Apabila kita menggabungkan empati wanita dengan ketepatan teknologi, kita sebenarnya mampu menghasilkan penyelesaian yang bukan sahaja efisien, malah menyentuh sanubari pengguna.
“Pada masa sama, saya mahu buktikan bahawa jantina bukan penghalang untuk memimpin dan membina inovasi berskala besar,” katanya.
NADIRA (dua dari kiri) bergambar bersama wanita yang juga usahawan digital dalam satu program di Kuala Lumpur baru-baru ini.Menyorot penglibatannya bersama Wena, Nadira berkata, dia mula mengenali persatuan itu ketika masih muda dan baru bertatih dalam bisnes.
Menurutnya, dia sering berasa keseorangan dan dahagakan ilmu perniagaan formal serta mahu mengenali lebih ramai usahawan berjaya sebagai mentor.
“Wena juga menyediakan jaringan perniagaan yang sangat efektif dan berguna untuk usahawan baharu sepertinya membina perniagaan dan jenama.
“Setelah beberapa tahun bersama Wena, saya diangkat sebagai Naib Presiden sebelum dipilih menjadi Presiden selama tempoh dua penggal bermula tahun 2012 hingga 2016,” katanya.
Paling manis dan membanggakan sebagai ketua, Wena berjaya menukar naratif wanita daripada sekadar membantu perniagaan kecil wanita kepada mengiktiraf wanita sebagai pemacu ekonomi utama negara.
Diaju mengapa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi antara agenda yang diperjuangkan sebagai advokasi dan tunjang kepada wanita, pemain sukan pickleball dan peminat sukan muay thai ini ada sebabnya.
Jelasnya, sebagai seorang jurutera wanita, STEM boleh diibaratkan sebagai ‘rumah’ baginya.
“Saya melihat sendiri betapa kecilnya representasi wanita dalam sektor ini, terutamanya di peringkat kepimpinan tertinggi.
“Hakikatnya, kebanyakan pekerjaan masa hadapan semuanya berpaksikan STEM dan kemahiran teknologi.
“Jika kita tidak menggalakkan gadis-gadis dan usahawan wanita muda untuk menyertai bidang ini, kita akan menyaksikan jurang pendapatan jantina yang lebih besar pada masa hadapan.
“Justeru, melalui Girls in Tech Malaysia, kami mahu membuang stigma bahawa bidang teknologi itu sukar atau ‘membosankan’.
“Kami mahu membuktikan bahawa teknologi adalah platform kreativiti di mana mereka (wanita) boleh mencipta impak global,” katanya.
NADIRA mencabar diri mengusahakan bisnes dalam bidang penjagaan dan pendidikan menerusi syarikat Kiddocare.Berkongsi cabaran mengenai apa yang dilalui sepanjang lebih 20 tahun terutama dalam perniagaan sendiri, Nadira mengakui paling sukar adalah cabaran kepada penerimaan pasaran terhadap inovasi baharu (education market).
Menurutnya, di peringkat awal penubuhan Kiddocare, konsep menempah pengasuh anak secara dalam talian (on-demand) dianggap sangat asing dan berisiko oleh masyarakat.
“Ramai yang skeptikal. Kami mengatasinya dengan turun ke padang, mendidik pasaran secara konsisten dan membuktikan bahawa protokol keselamatan ditawarkan adalah yang terbaik dalam industri,” katanya.
Keduanya ujar Nadira, setiap perniagaan yang dibina tidak akan lari daripada kekangan pembiayaan di fasa awal penubuhan.
“Membina platform teknologi memerlukan kos pembangunan yang sangat tinggi.
“Sebagai pengasas wanita, proses mendapatkan dana daripada pelabur adalah satu perjuangan yang sangat mencabar,” katanya.Terakhir, kongsi Nadira cabaran yang tidak dapat dielak dalam menceburi perniagaan adalah menguruskan krisis operasi dan skalabiliti.
Beritahunya, apabila platform mula berkembang pesat, kualiti perkhidmatan juga perlu konsisten merentasi ribuan transaksi dan ia benar-benar mencabar.
“Kami pernah menghadapi isu kekurangan tenaga pengasuh terlatih di Kiddocare untuk menampung permintaan yang melonjak.
“Kami mengatasinya dengan membina akademi latihan dalaman yang sistematik dalam usaha memastikan pengasuh terlatih mencukupi dan dapat dilahirkan,” katanya.
Ditanya perancangan dan visi syarikat, Nadira optimis mahu meletakkan ekonomi penjagaan (care economy) sebagai salah satu pemacu utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan rantau Asia Tenggara.
Jelasnya, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, dia mahu melihat Kiddocare berkembang sebagai jenama serantau yang menerajui ekosistem di pasaran ASEAN.
Dia juga komited melihat kerjaya pengasuh anak diiktiraf sepenuhnya sebagai profesion profesional bertaraf tinggi yang mempunyai laluan kerjaya jelas, sekali gus menaikkan taraf hidup ribuan lagi wanita dalam golongan berpendapatan rendah.

14 hours ago
6













![[VIDEO] Janji hidup lebih baik, bekas guru tadika didakwa terima hasil haram](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/AKTIVITI-HARAM.jpeg)



































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)