PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Berikut adalah kronologi kes tersebut:
22 Julai 2021 Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan iaitu bersubahat untuk melakukan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
5 Ogos 2021 Syed Saddiq didakwa lagi atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan hakim membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
23 Ogos 2021 Syed Saddiq memohon empat pertuduhan yang dihadapinya itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
25 November 2021 Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu.
19 Januari 2022 Hakim Mohamed Zaini menasihati Syed Saddiq supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kesnya.
24 Mac 2022 Pendakwaan kemuka dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik Armada yang dihadapi Syed Saddiq dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu.
21 Jun 2022 Ibu bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 62 serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, 69, memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.
4 Julai 2022 Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.
7 Julai 2022 Pihak pembelaan memohon mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13 (SP-13), bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia Rafiq Hakim Razali, berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.
8 Julai 2022 Syed Saddiq memohon maaf kepada mahkamah kerana berkongsi semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kesnya itu.
18 Julai 2022 Mahkamah Tinggi menolak permohonan Syed Saddiq untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim.
21 Julai 2022 Mahkamah mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.
22 Julai 2022 Syed Saddiq sekali lagi memohon untuk mencabar kredibiliti saksi (Rafiq Hakim) susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah.
25 Julai 2022 Azhar mengarahkan pendakwaan menyerahkan salinan percakapan Rafiq Hakim yang dirakam SPRM kepada mahkamah untuk penelitian.
22 Ogos 2022 Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti saksi itu.
23 Ogos 2022 Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan salinan rakaman percakapan Rafiq Hakim.
27 September 2022 Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.
6 Oktober 2022 Pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah berhubung empat pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.
9 November 2023 Syed Saddiq dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta. Bagaimanapun hukuman ditangguhkan sementara rayuan diteruskan.
29 November 2024 Syed Saddiq menerima segala dokumen penghujahan penuh – mengarahkan peguamnya untuk memfailkan rayuan.
12 Disember 2024 Rayuan rasmi difailkan dengan 18 sebab kesilapan undang-undang dan fakta dalam sabitan; rayuan ini menetapkan kes untuk didengar oleh Mahkamah Rayuan.
19-20 Mac 2025 Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari untuk mendengar rayuan kes Syed Saddiq.
20 Mac 2025 Perbicaraan berlangsung seperti dijadual. Bagaimanapun, batal sebahagian kerana timbalan pendakwa tidak sihat. Proses rayuan ditangguhkan.
25 Jun 2025 Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.