KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbuka menerima permohonan program akademik baharu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), politeknik dan kolej komuniti bagi memperkukuh kepelbagaian bidang pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di Sabah.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, setiap cadangan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan kepakaran institusi, keperluan industri, kapasiti penyampaian, permintaan pelajar dan kebolehpasaran graduan selain mengelakkan pertindihan program.
“Pendekatan ini memastikan program yang ditawarkan berkualiti, relevan dan mampu memenuhi keperluan pembangunan ekonomi Sabah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd. Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) berhubung usaha menambah kapasiti serta kepelbagaian program IPTA di Sabah bagi mengurangkan kebergantungan pelajar kepada kampus di Semenanjung.
Menurut beliau, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 16 IPTA termasuk kampus cawangan beroperasi di Sabah melibatkan empat universiti awam, tiga politeknik dan sembilan kolej komuniti.
Katanya, UMS kini memberi tumpuan kepada pembangunan program berasaskan kekuatan penyelidikan dan biodiversiti Borneo seperti sains marin, akuakultur, bioteknologi tropika, sains perubatan, warisan, sains sosial, ekopelancongan dan perniagaan.
“UiTM Cawangan Sabah pula menawarkan program dalam bidang pelancongan dan hospitaliti, perniagaan, sains pentadbiran serta sains dan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT sedang melaksanakan 21 projek pembangunan di Sabah melibatkan kos keseluruhan RM1.05 bilion, manakala peruntukan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tahun 2026 berjumlah RM160.6 juta.
Beliau turut menjelaskan kementerian tidak menetapkan kuota kemasukan pelajar mengikut negeri kerana ia bergantung kepada kursus yang ditawarkan serta permintaan semasa.
Mengulas soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar), beliau berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi memperkukuh penyelidikan universiti melalui KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Katanya, usaha itu diterjemahkan menerusi pendekatan RDICE (Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi) bagi memastikan hasil penyelidikan mempunyai nilai komersial serta memberi manfaat kepada negara. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6







































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








